MIBIE 2026 pamer teknologi pembinaan terkini, infrastruktur pintar dan penyelesaian bangunan mampan

MIBIE 2026 pamer teknologi pembinaan terkini, infrastruktur pintar dan penyelesaian bangunan mampan

EKSPO Malaysia International Building and Innovation (MIBIE 2026) dilancarkan secara rasmi bertujuan membawa teknologi pembinaan terkini, infrastruktur pintar dan penyelesaian bangunan mampan kepada pemain industri bagi memperkukuh ekosistem pembangunan negara.

Sempena pelancaran, satu sesi perbincangan panel bertajuk ‘Membina Masa Depan: Memacu Inovasi dan Kecemerlangan’ turut diadakan, di mana pakar industri terkemuka membincangkan masa depan sektor pembinaan.

Dalam sesi tersebut, Pengarah MIDA Melaka, Derrick Tanggapan menekankan masa depan sektor pembinaan dengan menegaskan kepentingan tiga S iaitu pintar (Smart), mampan (Sustainable) dan berskala (Scalable).

“Jika kita melihat ketiga-tiga S ini, kita seharusnya melihat kelestarian dan daya saing sebagai satu objektif yang menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya pada majlis pelancaran yang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam pada Khamis.

Pengasas MIBIE, Andy Liow menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran MIBIE 2026.

Pengasas MIBIE, Andy Liow menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran MIBIE 2026.

Pengerusi Material Handling and Logistics Technology Association (MHLTA), Datuk Dr Noel Robert turut menyokong pandangan itu dan menekankan kepentingan amalan berpandangan di masa depan.

“Bangunan pintar adalah masa depan sektor pembinaan dan perlu diamalkan oleh pemaju kecil atau besar. Anda boleh menyesuaikan skala mengikut bajet, yang penting adalah bermula sekarang,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Crane Lifting Planners and Supervisors Association of Malaysia (CLPSAM), Kol. Bersekutu Frank Tan pula berkongsi pandangan tentang faedah ekspo untuk meningkatkan operasi perniagaan.

“Mengunjungi ekspo membolehkan perniagaan mempelajari teknologi terkini, meningkatkan operasi mereka dan kekal relevan di pasaran.

“Melabur dalam penyelesaian yang boleh diperluas dari masa ke masa juga membantu syarikat meningkatkan kecekapan, mengadaptasi dengan keperluan masa depan dan mengelakkan pembelian secara berulang,” katanya.

MIBIE 2026 dianjurkan oleh INEX Event and Management dan akan berlangsung dari 18 hingga 20 November 2026 di MAEPS Serdang, Selangor sekali gus menghimpunkan para profesional daripada sektor pembinaan, reka bentuk dan seni bina.

Pengasas MIBIE, Andy Liow berkata, MIBIE diwujudkan dengan satu misi iaitu membina platform lebih kukuh untuk menghubungkan industri, inovasi, teknologi dan kerjasama antarabangsa di bawah satu ekosistem.

“Expo ini akan menampilkan zon-zon utama termasuk paparan teknologi dan bengkel, memberikan peserta peluang untuk mengenali inovasi terkini serta meneroka penyelesaian praktikal untuk perniagaan mereka,” katanya.

MIBIE 2026 akan turut menampilkan empat fokus utama untuk memacu pembangunan dalam industri bangunan dan pembinaan iaitu Hab Bangunan Hijau (The Green Build Hub) yang memberi tumpuan kepada bahan mampan, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan air dan pensijilan bangunan hijau seperti GBI dan LEED.

Berikutnya, Arena Teknologi & Digitalisasi (The Tech & Digitalisation Arena) yang menampilkan perisian BIM, pembinaan robotik, IoT untuk bangunan pintar, VR/AR bagi visualisasi reka bentuk dan platform pengurusan projek.

Seterusnya, Presint Seni Bina & Reka Bentuk (The Architectural & Design Precinct) yang mempamerkan kemasan yang inovatif, penyelesaian reka bentuk dalaman dan karya seni bina.

Dikuti Zon Perindustrian & Infrastruktur (The Industrial & Infrastructure Zone) yang mengetengahkan jentera berat, penyelesaian struktur dan projek infrastruktur berskala besar.

Pengunjung ekspo juga boleh menyertai seminar dan demonstrasi produk secara langsung yang memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan pakar industri serta mendapatkan maklumat mengenai trend terkini dalam sektor pembinaan.

Dengan tumpuan yang besar terhadap kerjasama, MIBIE 2026 akan menyediakan peluang yang luas kepada para profesional untuk menjalinkan hubungan dan meneroka potensi kerjasama merentas sektor dalam industri pembinaan dan bangunan.

Scroll to Top