suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Gombak: Sebuah kereta yang dinaiki empat pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dipercayai baru pulang dari Genting Highlands hilang kawalan sebelum merempuh treler di Kilometer (KM) 34 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, tiga lelaki maut di lokasi kejadian dan seorang wanita berumur lingkungan 20-an parah.
Ketua Polis Daerah Gombak, Pemangku Senior Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman kejadian itu pada j2.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pada 2.15 pagi melibatkan tiga lelaki dan satu perempuan berumur lingkungan 20-an yang merupakan pelajar sebuah IPTA.
“Kesemua mangsa menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf dalam perjalanan dari Genting Highlands menghala ke UIA Gombak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kenderaan jenis Volkswagen Golf yang dinaiki semua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler di laluan berkenaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
“Manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan,” katanya.
Noor Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor FaizalMohd @ Abd Aziz di talian 019-2676097 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




