Si Ahli Nujum juara Festival Teater UKM 2026

Si Ahli Nujum juara Festival Teater UKM 2026

PETALING JAYA: Kolej Dato’ Onn dinobatkan juara keseluruhan Festival Teater Universiti Kebangsaan Malaysia 2026 (FESTER Legenda) menerusi naskhah Si Ahli Nujum, kelmarin.

Kemenangan itu diumumkan pada Malam Penutup dan Majlis Penyampaian Anugerah yang berlangsung di Panggung Seni, UKM Bangi selepas festival itu berlangsung selama seminggu sejak 13 Mei lalu.

Tempat kedua dimenangi Kolej Tun Dr. Ismail menerusi naskhah Panca Delima, manakala Kolej Tun Syed Nasir meraih tempat ketiga menerusi Atma Kaku.

Festival tahunan anjuran Pusat Kebudayaan Universiti UKM dengan kerjasama Kelab Teater Rimba Artisukma UKM itu menghimpunkan 11 produksi kolej kediaman bagi meraikan bakat mahasiswa dalam seni lakon pentas.

Penyelaras Projek Festival Teater UKM 2026, Ayu Faliza Roslan berkata, FESTER menjadi platform terbesar UKM dalam memastikan perkembangan dan kelestarian teater pengajian tinggi terus diperkasa.

Katanya, program itu bertujuan mengumpulkan penggiat seni kampus dalam satu wadah pendekatan dan apresiasi seni teater.

“Walaupun UKM tidak mempunyai program pengajian khusus dalam seni teater, mahasiswa daripada pelbagai bidang seperti sains, kejuruteraan, undang-undang dan perubatan tetap aktif mengangkat seni pentas.

“Perkara itu tidak menjadi penghalang kepada seni teater untuk terus berkembang, khususnya menerusi Kelab Teater Rimba Artisukma dan kolej-kolej kediaman UKM,” katanya.

Menurut Ayu Faliza, FESTER tahun ini kembali dengan tema Legenda bagi mengangkat karya kreatif dan kreasi baharu untuk tatapan generasi muda.

Beliau berkata, penganjuran itu diharap terus menjadi platform terbaik kepada mahasiswa UKM untuk menyerlahkan potensi, bakat dan kreativiti dalam teater pengajian tinggi bersama masyarakat.

Antara karya legenda yang diinspirasikan dalam festival itu termasuk Dayang Senandong, Pak Pandir, Tasik Dayang Bunting, Laila Majnun, Bujang Senang, Raja Bersiong, Panca Delima, Batu Belah Batu Bertangkup, Puteri Walinong Sari, Nujum Pak Belalang dan Bidasari.

Majlis penutup itu disempurnakan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Ts. Dr. Arham Firdhaus yang hadir mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM.

Selain juara keseluruhan, Si Ahli Nujum turut menerima Anugerah Skrip Terbaik, sementara pelakon watak Pak Sender daripada Kolej Dato’ Onn memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik.

Kolej Tun Dr. Ismail turut mencuri perhatian apabila Panca Delima meraih Anugerah Visual Inovatif Terbaik, selain membolot Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Surya Kenchana dan Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak Permaisuri Cemara Jingga.

Anugerah Khas Dr. Ros pula diberikan kepada penulis skrip Kerusi Untuk Laila, Nur Ali Ahusna, sebagai penghargaan kepada legasi Allahyarham Dr. Rosminah Tahir dalam arena teater negara. – UTUSAN

Scroll to Top