PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat melaksanakan pemeriksaan mengejut di pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara bagi memastikan pematuhan serta mengesan premis tidak berdaftar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu susulan beberapa laporan kes membabitkan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat jagaan yang menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan.
“Ketika ini mereka (Jabatan Kebajikan Masyarakat) masih melakukan lawatan mengejut. Jika mereka dapati ada pelanggaran, tindakan akan diambil serta-merta termasuk mengarahkan premis ditutup,” katanya kepada media selepas melancarkan program Majlis Penyertaan Malaysia di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak di sini pada Jumaat.
Nancy berkata, masih terdapat pusat jagaan tidak berdaftar yang gagal dikesan berikutan kurangnya kesedaran awam dan laporan daripada komuniti.
Beliau berkata, orang awam diharapkan dapat memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pusat jagaan kanak-kanak yang disyaki beroperasi tanpa pendaftaran.
“Inilah yang kami maksudkan, pendekatan seluruh komuniti. Kami perlukan sokongan itu kerana kami juga tidak akan tahu mengenai kewujudan pusat jagaan tidak berdaftar melainkan orang ramai memberi sedikit petunjuk,” katanya.- Bernama



