Gentari utamakan keselamatan dalam pelaksanaan projek LSS5

Gentari utamakan keselamatan dalam pelaksanaan projek LSS5

SUNGAI PETANI – Gentari menegaskan komitmen mereka terhadap aspek keselamatan, disiplin pelaksanaan dan penyampaian projek secara bertanggungjawab menerusi lawatan keselamatan tapak oleh barisan kepimpinan kanan syarikat ke projek Large-Scale Solar 5 (LSS5) di Kuala Muda, dekat sini, baru-baru ini.

Lawatan itu diadakan ketika pembinaan fasiliti solar berskala besar berkapasiti 150MWp berkenaan sedang giat dijalankan.

Projek tersebut dibangunkan oleh Gentari LSS Lima Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Gentari Renewables Sdn Bhd, susulan kejayaan syarikat itu memperoleh tender di bawah program LSS kelima Malaysia pada Disember 2024.

Inisiatif itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Gentari sebagai pemain tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti yang menyokong usaha negara memperluaskan kapasiti tenaga hijau serta mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Program LSS5 merupakan kuota solar berskala besar terbesar diperkenalkan setakat ini dengan sasaran kapasiti nasional kira-kira 2,000MWac.

Ia turut menjadi antara komponen penting pelaksanaan NETR yang mensasarkan Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

Apabila siap kelak, fasiliti fotovoltaik (PV) solar berskala besar Gentari itu dijangka membekalkan sehingga 150MWp tenaga elektrik bersih kepada sistem grid negara menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Negara Malaysia Gentari, Shah Yang Razalli berkata, peralihan projek daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan membuktikan komitmen syarikat dalam membangunkan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara dalam jangka panjang.

Menurut beliau, projek berkenaan bukan sahaja bertujuan membina aset tenaga masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan, malah mampu memperkukuh keselamatan tenaga negara serta mempercepat usaha penyahkarbonan di bawah NETR.

“Ketika projek memasuki fasa pembinaan, keutamaan kami adalah memastikan ia disiapkan mengikut tempoh, skop dan kos ditetapkan, selain mematuhi piawaian teknikal, alam sekitar dan keselamatan tertinggi.

“Ia juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Gentari sebagai rakan tenaga bersih jangka panjang yang dipercayai dalam merealisasikan aspirasi negara kepada impak sebenar untuk industri, perniagaan dan ekosistem tenaga,” katanya pada Jumaat.

Apabila mula beroperasi nanti, katanya, projek itu dijangka membantu mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap bahan api fosil selain menurunkan pelepasan karbon dioksida sehingga dianggarkan 166,766 tan karbon dioksida setara (tCO₂e) setahun.

“Projek tersebut juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan serta aktiviti operasi dan penyelenggaraan jangka panjang,” katanya.

Dalam masa sama, LSS5 turut menyokong pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan menyediakan bekalan tenaga bersih yang stabil bagi menarik pelaburan bernilai tinggi serta memacu pertumbuhan wilayah secara mampan.

Ia selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan pembuatan berteknologi tinggi, industri dipacu teknologi dan infrastruktur hijau berdaya tahan.

Scroll to Top