SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menggesa semua isu berbangkit membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) diselesaikan menerusi saluran rasmi dan meja rundingan, bukannya melalui kenyataan media secara terbuka.
Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan secara terbuka dikhuatiri boleh melemahkan gabungan pembangkang itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, Bersatu Selangor memandang serius kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung hubungan dalam PN.
“Namun kami berpendirian semua isu berbangkit perlu diselesaikan melalui saluran rasmi Majlis Tertinggi PN, bukan melalui kenyataan media yang boleh melemahkan gabungan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Wan Dzahanurin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis berkata, setiap keputusan membabitkan pentadbiran dan politik di Negeri Sembilan, Perlis, Kedah serta Kelantan sebelum ini dibuat secara kolektif di peringkat kepimpinan tertinggi PN.
Beliau menegaskan Bersatu tidak pernah mengambil sebarang tindakan secara bersendirian.
“Jika ada salah faham, ia wajar diperbetulkan secara dalaman, bukan dipersalahkan kepada satu pihak di khalayak ramai,” katanya.
Terdahulu, Pas menyifatkan tindakan ADUN Bersatu di Negeri Sembilan menarik balik Akuan Bersumpah (SD) sokongan terhadap pembentukan kerajaan negeri sebagai langkah yang melanggar prinsip setia kawan dalam gabungan itu.
Abdul Hadi berkata, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan telah menghantar surat kepada Bersatu bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan mengejut wakil rakyat parti itu.
Menurut beliau, Pas mempunyai tiga kerusi manakala Bersatu memiliki dua kerusi di Negeri Sembilan dan jumlah itu, bersama 14 kerusi UMNO, mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri dengan sokongan 19 kerusi.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Bersatu kemudiannya menarik balik SD berkenaan dan membatalkannya, sekali gus dianggap Pas sebagai tindakan yang melanggar semangat setia kawan antara kedua-dua parti.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bersatu teliti kenyataan Presiden Pas, bawa ke mesyuarat Biro Politik
Tindakan ADUN Bersatu Negeri Sembilan tarik balik SD langgar ‘setia kawan’ – Pas
Pas kaji semula hubungan dengan Bersatu – Abdul Hadi
Dalam perkembangan sama, Wan Dzahanurin turut menepis dakwaan kononnya Bersatu tidak memiliki jentera pilihan raya yang kukuh.
Katanya, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan calon Bersatu mampu meraih kemenangan di kerusi ditandingi hasil sokongan padu keseluruhan jentera PN.
Namun begitu, beliau mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan bagi memperkukuh persiapan menghadapi cabaran politik semasa.
“Kami akui ada ruang penambahbaikan dan Bersatu Selangor sendiri sedang giat memperkukuh jentera di peringkat cawangan menjelang PRU16,” katanya.
Mengulas desas-desus kemasukan parti baharu ke dalam blok pembangkang, beliau berkata, sebarang keputusan mengenainya perlu dibuat secara bersama dengan mengambil kira impak terhadap kestabilan politik gabungan berkenaan.
Tegasnya, Bersatu sentiasa terbuka menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti Melayu-Islam lain, namun perkara itu perlu diputuskan menerusi proses konsensus.
“Bersatu Selangor kekal komited mempertahankan PN sebagai wadah politik Melayu-Islam yang stabil demi memenuhi harapan rakyat.
“Kenyataan awam yang bersifat menekan tidak membantu, terutama ketika rakyat mahukan pembangkang bersatu menghadapi PRU16. Kami pilih bekerja, bukan berpolemik,” katanya.



