Bursa Malaysia ditutup tinggi, dipacu belian saham harga rendah

Bursa Malaysia ditutup tinggi, dipacu belian saham harga rendah

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat dipacu aktiviti pembelian saham pada harga rendah yang muncul semula selepas beberapa sesi dagangan lemah sebelum ini.

Pada jam 5 petang, FBM KLCI meningkat 4.31 mata atau 0.25 peratus kepada 1,712.67 berbanding paras 1,708.36 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka 3.35 mata lebih tinggi pada 1,711.71 bergerak dalam julat sempit antara 1,710.30 dan 1,715.71 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 629 berbanding 539, manakala 540 kaunter tidak berubah, 1,010 tidak diniagakan dan 64 digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.68 bilion unit bernilai RM3.58 bilion berbanding 3.49 bilion unit bernilai RM3.70 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, sokongan terhadap FBM KLCI kekal kukuh di atas paras 1,710, namun pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan ketidaktentuan pasaran yang dijangka terus mempengaruhi sentimen.

“Bagaimanapun, kebimbangan yang semakin reda di Asia Barat serta penurunan sederhana harga minyak mentah Brent sedikit sebanyak membantu memperbaiki sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat global, beliau berkata, kebanyakan indeks serantau utama ditutup tinggi disokong prestasi kukuh saham teknologi, manakala pelabur terus memberi tumpuan terhadap rundingan Amerika Syarikat-Iran yang berpotensi meredakan ketegangan di Asia Barat dan menstabilkan aliran bekalan minyak menerusi Selat Hormuz.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik empat sen kepada RM8.96, manakala Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing susut empat sen kepada RM11.00 dan RM14.42, manakala Public Bank dan CIMB pula tidak berubah masing-masing pada RM4.77 dan RM7.75.

Bagi saham aktif, SkyeChip melonjak 37 sen kepada RM2.70, EI Power meningkat 7.5 sen kepada 62.5 sen, Tanco menambah dua sen kepada RM1.72, manakala Zetrix AI susut 2.5 sen kepada 79.5 sen dan GIIB kekal pada 39.5 sen.

Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries naik RM2.30 kepada RM48.50, Hong Leong Industries meningkat 84 sen kepada RM18.74, Vitrox Corporation melonjak 44 sen kepada RM6.92, MI Technovation menokok 38 sen kepada RM4.20 dan BM Greentech menambah 33 sen kepada RM1.44.

Bagi kaunter rugi utama pula, Petronas Dagangan merosot 96 sen kepada RM17.84, Nestle susut 40 sen kepada RM95.60, Petron Malaysia Refining & Marketing turun 26 sen kepada RM4.10, Ta Ann kehilangan 23 sen kepada RM5.38 dan Hong Leong Bank berkurangan 20 sen kepada RM22.00.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 36.35 mata kepada 12,706.23, manakala Indeks FBMT 100 naik 35.28 mata kepada 12,546.76. Indeks FBM Mid 70 turut mengukuh 67.48 mata kepada 18,298.30, Indeks FBM Emas Shariah menokok 75.59 mata kepada 12,644.17, dan Indeks FBM ACE menambah 47.73 mata kepada 4,725.97.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 26.87 mata kepada 8,584.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.21 mata kepada 200.63, serta Indeks Tenaga menambah 15.64 mata kepada 792.55, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 25.87 mata kepada 19,997.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.85 bilion unit bernilai RM3.27 bilion berbanding 1.84 bilion unit bernilai RM3.31 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 876.85 juta unit bernilai RM112.65 juta daripada 964.66 juta unit bernilai RM118.14 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 952.73 juta unit bernilai RM189.17 juta berbanding 679.66 juta unit bernilai RM271.62 juta sebelumnya.

Dalam kalangan sektor, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatat 216.01 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (344.37 juta), pembinaan (120.04 juta), teknologi (481.98 juta), perkhidmatan kewangan (65.61 juta), hartanah (177.44 juta), perladangan (42.37 juta), amanah pelaburan hartanah (15.67 juta), dana tertutup (78,700), tenaga (153.0 juta), penjagaan kesihatan (106.34 juta), telekomunikasi dan media (61.91 juta), pengangkutan dan logistik (31.17 juta), utiliti (36.65 juta), amanah perniagaan (sifar).- Bernama 

Scroll to Top