Burung gagak agresif serang murid, ibu bapa di Israel

Burung gagak agresif serang murid, ibu bapa di Israel
Burung gagak agresif serang murid, ibu bapa di Israel

Seekor burung gagak bandar mengutip plastik untuk membina sarangnya di pusat bandar Baitulmaqdis. Foto Agensi

TEL AVIV – Sekumpulan burung gagak agresif dilaporkan menyerang murid dan ibu bapa di sebuah tadika di pusat bandar Tel Aviv sehingga menyebabkan ada mangsa cedera dan berdarah, menurut laporan The Times of Israel.

Seorang wartawan penyiar awam Israel, Shelly Tapiero mendakwa beliau menyaksikan seekor gagak menyerang seorang kanak-kanak ketika pulang dari tadika sebelum dia sendiri turut diserang keesokan harinya.

“Saya melihat seekor gagak menyerang seorang kanak-kanak. Budak itu menjerit ketakutan dan terus melarikan diri,” katanya menerusi platform X.

Tapiero turut mendakwa dia mengalami pendarahan selepas diserang burung tersebut di pintu masuk tadika.

Menurut beberapa ibu bapa, kejadian serangan burung gagak di kawasan itu semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak dan tenaga pengajar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bandar Tel Aviv memaklumkan mereka tidak dapat campur tangan kerana fenomena itu berlaku setiap tahun ketika musim anak burung belajar terbang antara April hingga Jun.

Menurut kenyataan majlis bandar raya, burung gagak dewasa biasanya akan melindungi anak mereka dengan terbang rendah dan menghampiri orang awam yang lalu berhampiran kawasan sarang.

“Dalam kebanyakan kes, ia hanya pengalaman menakutkan dan bukan berbahaya, manakala sentuhan fizikal dengan manusia jarang berlaku,” menurut kenyataan itu.

Namun, ibu bapa murid menyifatkan respons pihak berkuasa sebagai tidak memadai.

Seorang ibu berkata, tidak munasabah jika penyelesaian diberikan hanyalah meminta orang ramai menjauhkan diri dari kawasan tadika sehingga anak gagak membesar.

Pihak bandar raya memaklumkan pemeriksaan telah dijalankan oleh unit veterinar dan pengurusan hidupan liar, namun tiada ancaman luar biasa ditemui di kawasan berkenaan.

Kes serangan burung gagak turut dilaporkan di beberapa lokasi lain di Israel termasuk kawasan rekreasi di Baitulmaqdis, dengan ada mangsa mendakwa mengalami kecederaan akibat diserang burung terbabit. – Agensi

Scroll to Top