am@hmetro.com.my
Dengkil: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaksimumkan penggunaan dron sepanjang operasi khas sempena Aidiladha bagi mengesan kesalahan trafik terutama di kawasan hotspot kemalangan di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, ia membabitkan penggunaan enam dron iaitu masing-masing dua di Kelantan dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu di Sarawak dan ibu pejabat.
Menurutnya, ia akan difokuskan di kawasan hotspot yang dikenal pasti mempunyai risiko tertinggi daripada keseluruhan 288 kawasan hotspot kemalangan di seluruh negara.
“Kita akan lebih memaksimumkan lagi penggunaan dron di lokasi hotspot untuk mengesan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar atau menggunakan laluan lorong kecemasan di lebuh raya.
“Kalau sebelum ini penggunaan dron hanya pada waktu tertentu tetapi kali ini kita akan menggunakan dron sepanjang operasi berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Operasi Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Rehat dan Rawat (RnR) Dengkil Arah Utara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara lokasi hotspot yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan ialah laluan Kuala Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan; Gua Musang ke Kuala Krai, Kelantan; Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan dan Segamat ke Mersing, Johor.
Katanya, kawasan hotspot di lebuh raya membabitkan laluan Terowong Menora hingga Sungai Perak, Perak serta Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dari Kijal ke Kuala Terengganu, Terengganu.
Dalam pada itu, Jazmanie berkata, Operasi HRAA akan dilaksanakan bermula Ahad ini hingga 31 Mei di seluruh negara bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap optimum sekali gus memperkukuhkan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh perayaan.
Katanya, operasi itu memberi fokus kepada pendekatan penguatkuasaan menyeluruh dan berstrategi menerusi konsep Perception of Being Caught (POBC).
“Ia termasuk meningkatkan kehadiran penguat kuasa di lokasi tumpuan, laluan utama persekutuan, lebuh raya, terminal pengangkutan awam dan 288 hotspot kemalangan di seluruh negara berteraskan slogan ‘Pandu Cermat Sampai Selamat’.
“JPJ akan memberi tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya di seluruh negara.
“Ia membabitkan tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta membawa lebih muatan dan membawa muatan secara berbahaya,” katanya.
Katanya, pihaknya turut mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam membabitkan aspek teknikal, pematuhan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), Speed Limit Device (SLD), audit keselamatan dan permit pengendali.
Menurutnya, operasi diperkukuhkan melalui penggunaan teknologi dan aset penguatkuasaan seperti Enforcement Action Camera (EAC), Body Worn Camera (kamera badan) serta rondaan dan pemantauan membabitkan 2,500 pegawai dan kakitangan JPJ.
“Selain itu, operasi khas terhadap penunggang motosikal akan dilaksanakan bagi meningkatkan pematuhan dan mengurangkan risiko kemalangan membabitkan golongan itu yang kekal menjadi antara kumpulan pengguna jalan raya paling berisiko,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




