Kilang baharu Mahsuri Food bernilai RM250 juta, guna teknologi moden

Kilang baharu Mahsuri Food bernilai RM250 juta, guna teknologi moden

NILAI – Kilang baharu milik Mahsuri Food Sdn Bhd di Bandar Baru Enstek di sini menggunakan teknologi moden dalam proses pengeluarannya sekali gus dapat meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, kilang yang dibangunkan di atas tanah seluas 45,000 meter persegi dengan kos sebanyak RM250 juta itu telah mula beroperasi secara berperingkat.

Menurutnya, antara keistimewaan utama kilang berkenaan ialah penggunaan teknologi moden dalam proses pengeluaran termasuk Rotary Koji-Making Machine yang merupakan antara teknologi utama dalam pembuatan kicap.

“Teknologi ini membolehkan proses pembuatan koji dilaksanakan dengan kawalan yang lebih tepat dari segi suhu, kelembapan dan pengudaraan.

“Penggunaan teknologi moden ini juga diyakini mampu meningkatkan kecekapan pengeluaran serta memastikan kualiti produk sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Baharu Mahsuri Food Sdn Bhd di Negeri Sembilan pada Jumaat.

Menurut Mohd Roslan, dalam proses penghasilan kicap, koji memainkan peranan penting kerana ia menjadi asas kepada pembentukan enzim yang membantu menghasilkan profil rasa, aroma dan kualiti produk.

Jelasnya, melalui sistem automasi itu, proses pengeluaran dapat dijalankan dengan lebih konsisten, cekap dan terkawal.

“Ia juga membantu mengurangkan pembaziran, meningkatkan keseragaman fermentasi serta memastikan setiap kelompok produk mencapai standard kualiti yang ditetapkan.

“Bagi Mahsuri, pelaburan dalam teknologi seperti ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk terus berinovasi dan meningkatkan keupayaan pembuatan makanan halal di Malaysia,” katanya.

Mohd Roslan berkata, pihaknya mahu memastikan kesemua produk yang dihasilkan bukan sahaja menepati cita rasa pengguna, tetapi juga memenuhi standard keselamatan makanan dan kualiti antarabangsa.

Katanya, selain teknologi, aspek halal merupakan tunjang utama kepada operasi Mahsuri yang mana kilang di lokasi baharu tersebut mempunyai pensijilan halal tersendiri.

“Proses pensijilan halal ini melibatkan penilaian menyeluruh terhadap operasi kilang, termasuk bahan mentah, proses pengeluaran, kebersihan, penyimpanan, pengendalian, kebolehkesanan dan sistem jaminan halal.

“Melalui sistem jaminan halal yang menyeluruh, setiap peringkat operasi dipantau dengan teliti daripada sumber bahan mentah, penerimaan, penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan sehinggalah kepada pengedaran,” ujarnya.

Beliau berkata, kilang berkenaan turut menyokong amalan keselamatan makanan melalui piawaian seperti FSSC 22000 dan HACCP.

Selain itu, Mohd Roslan berkata, pihaknya mahu memastikan jenama itu bukan sahaja diyakini di negara ini tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Dengan adanya kilang baharu di Bandar Enstek ini, kami yakin Mahsuri berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan tersebut.

“Kilang baharu ini akan memberi tumpuan kepada pengeluaran produk seperti kicap, sos berasaskan tiram dan sos masakan mudah,” katanya.

Justeru, beliau berharap dengan fasiliti baharu terbabit, Mahsuri dapat berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk halal yang berkualiti, diyakini dan dihasilkan di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyempurnakan perasmian kilang berkenaan berkata, pembinaan kilang baharu terbabit penting dalam memperkukuh pembangunan industri halal negara.

“Negeri Sembilan mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara negeri peneraju industri makanan halal berikutan kedudukan strategik, kemudahan industri dan sokongan kerajaan yang konsisten.

“Hari ini, industri halal bukan lagi sekadar soal pensijilan, tetapi telah berkembang menjadi ekosistem ekonomi global yang menekankan aspek kualiti, keselamatan makanan, integriti rantaian bekalan dan keyakinan pengguna,” katanya.

Kilang baharu Mahsuri Food bernilai RM250 juta, guna teknologi moden

Aminuddin (empat dari kanan) merasmikan Kilang Mahsuri Food Sdn Bhd di Bandar Baru Enstek pada Jumaat.

Beliau turut memuji penggunaan teknologi moden oleh kilang itu termasuk sistem automasi dalam proses pembuatannya.

Menurutnya, kehadiran industri seperti Mahsuri akan memberi kesan limpahan kepada ekonomi setempat termasuk kepada pembekal tempatan, sektor logistik, kontraktor, penyedia perkhidmatan dan peniaga kecil di kawasan sekitar.

Scroll to Top