Montreal: George Russell mencuri tumpuan apabila meraih petak utama perlumbaan pecut Grand Prix Kanada di Litar Gilles Villeneuve, sekali gus membolehkan pasukan Mercedes menguasai kedudukan satu dua selepas Kimi Antonelli menamatkan sesi di tempat kedua.
Russell yang kembali menunjukkan rentak terbaiknya mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan sengit, menewaskan Antonelli dengan kelebihan tipis 0.068 saat dalam saingan penuh tekanan.
Di belakang dua jentera Mercedes itu, pasukan McLaren turut melengkapkan kedudukan kompetitif apabila Lando Norris di tempat ketiga manakala Oscar Piastri di tempat keempat.
Sementara itu, Ferrari kekal konsisten apabila Lewis Hamilton dan Charles Leclerc masing masing bermula di petak kelima dan keenam untuk perlumbaan pecut 100 kilometer itu.
Antonelli yang kini mendahului carta kejuaraan dunia pada usia 19 tahun mengakui sesi kelayakan tidak berjalan lancar walaupun pasukan menaik taraf pada jentera.
“Saya melakukan kesilapan dalam SQ2 dan ia mengganggu sedikit rentak. Kami masih perlu memahami pakej baharu ini,” katanya.
Russell pula jelas puas hati dengan prestasi kembali ke puncak selepas beberapa perlumbaan mencabar sebelum ini.
“Ia perasaan yang hebat selepas minggu yang sukar. Saya tahu kemampuan saya dan hari ini semuanya menjadi,” katanya.
Aksi kelayakan turut menyaksikan juara dunia empat kali Max Verstappen bermula di tempat ketujuh bersama Isack Hadjar di tempat kelapan untuk pasukan Red Bull Racing.
Perlumbaan pecut 100 kilometer itu turut dicemari beberapa insiden termasuk Liam Lawson yang gagal mengambil bahagian akibat masalah hidraulik, manakala Alex Albon terbabas selepas melanggar ‘groundhog’ dalam sesi latihan.
Fernando Alonso turut terbabas pada fasa awal kelayakan selepas kunci brek hadapan, menyebabkan sesi tergendala seketika bagi kerja pembaikan penghadang keselamatan.
Perlumbaan pecut itu menawarkan mata kepada lapan pelumba terbaik, sekali gus menjanjikan saingan lebih sengit di Montreal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




