SUBANG JAYA – Tahap kesedaran masyarakat terhadap rawatan penyakit sawan berulang atau epilepsi masih membimbangkan apabila dianggarkan kira-kira 40 peratus rakyat Malaysia cenderung memilih rawatan tradisional berbanding perubatan moden.
Pakar Saraf Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Sherrini Bazir Ahmad berkata, keadaan itu menjadi cabaran utama dalam usaha meningkatkan penerimaan terhadap rawatan moden bagi mengawal penyakit berkenaan.
Menurut beliau, epilepsi yang tidak dirawat dengan ubat moden boleh menyebabkan sawan menjadi lebih kerap dan berpanjangan sehingga mengakibatkan kerosakan otak kekal atau kematian.
“Dalam kes serius, pesakit boleh mengalami status epilepticus iaitu sawan berterusan yang berbahaya. Terdapat juga risiko sudden unexpected death in epilepsy (SUDEP), di mana pesakit boleh meninggal dunia secara tiba-tiba ketika tidur,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, kajian menunjukkan ubat moden berkesan mengawal sawan dan kira-kira 70 peratus pesakit epilepsi boleh dirawat dengan baik menerusi kaedah tersebut. Namun, sekitar 30 peratus lagi dikategorikan sebagai refractory epilepsy atau sukar dirawat.
Katanya, rawatan tradisional pula banyak diamalkan berdasarkan adat, budaya dan agama tanpa melalui kajian klinikal terkawal bagi membuktikan keselamatan serta keberkesanannya. Stigma dan ketakutan jadi penghalang rawatan Dr Sherrini berkata, stigma masyarakat turut menjadi penghalang apabila ada yang percaya ubat moden menyebabkan ketagihan.
“Itu tanggapan salah kerana ubat diperlukan untuk mengawal sawan. Ada juga pesakit takut mengambil ubat sedangkan semua ubatan moden telah melalui proses penyelidikan dan penilaian keselamatan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan terdapat pengamal perubatan tradisional yang meminta pesakit menghentikan pengambilan ubat hospital atas alasan detoksi kasi atau tidak mahu ubat moden bercampur dengan herba.

DR SHERRINI
“Itu cabaran paling sukar kerana pesakit perlu diyakinkan supaya tidak berhenti mengambil ubat yang diberikan doktor,” ujarnya.
Menurut beliau, masyarakat di Malaysia mengamalkan pelbagai bentuk rawatan tradisional mengikut latar budaya dan agama masing-masing.
“Antaranya penggunaan herba tempatan seperti daun pegaga dan sa ron, bijirin kaya omega-3 seperti chia seed dan biji rami, rawatan tradisional Cina menggunakan ubatan herba dan akar kayu, Ayurveda yang merangkumi herba, urutan, yoga dan diet seimbang.
“Dalam kalangan masyarakat Islam pula, ada yang mengamalkan air zam zam, madu, minyak zaitun, kurma, rawatan spiritual seperti ruqyah dan zikir. Terdapat juga amalan urutan, meditasi, akupunktur dan bekam,” kata Dr Sherrini.
Bagaimanapun, Dr Sherrini mengingatkan terdapat rawatan tertentu yang boleh mendatangkan bahaya.
“Antaranya ketum yang dipercayai sesetengah pihak mampu merawat sawan sedangkan ia boleh meningkatkan risiko serangan sawan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan minyak cannabidiol (CBD) di luar negara dikawal ketat mengikut piawaian tertentu dengan kandungan tetrahydrocannabinol (THC) yang rendah atau tiada.
Namun, penggunaan ganja di Malaysia adalah menyalahi undang-undang dan minyak CBD masih belum mendapat kelulusan sah daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA).
Menurutnya, sehingga kini tiada bukti sainti k yang menyokong penggunaan rawatan tradisional semata-mata untuk merawat epilepsi.
Hanya ketogenic diet didapati boleh membantu, namun perlu diamalkan bersama rawatan moden.
Beliau berkata, penggunaan bahan seperti halia, bawang putih, kayu manis, madu, kurma dan minyak zaitun biasanya tidak mendatangkan masalah, tetapi risiko timbul apabila kandungan serta dos ubatan tradisional tidak diketahui.
“Kita bimbang berlaku interaksi dengan ubat moden atau menyebabkan rawatan hospital menjadi kurang berkesan,” katanya.
Kepentingan pendidikan awam
Dr Sherrini menegaskan pendidikan awam perlu dipertingkatkan supaya masyarakat memahami bahawa epilepsi bukan berpunca daripada sihir, gangguan mistik atau penyakit mental, sebaliknya disebabkan aktiviti elektrik tidak normal dalam otak.
“Apabila kefahaman itu diperbetulkan, pesakit dan keluarga akan lebih terbuka menerima rawatan moden. Pendidikan adalah kunci utama,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak sepenuhnya rawatan tradisional terutama amalan yang membantu menenangkan emosi seperti zikir, meditasi dan yoga kerana tekanan serta kurang tidur boleh mencetuskan sawan.
Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) juga perlu memperkukuh kawalan serta penilaian terhadap produk dan pengamal rawatan tradisional bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin.



