Had kuota tetap SKDS fleet card ditetapkan antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan

Had kuota tetap SKDS fleet card ditetapkan antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan

am@hmetro.com.my

‎Kundasang: Pelarasan had kuota tetap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat ‎barangan akan dapat memperkukuh mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan untuk mengekang ketirisan subsidi dan ‎penyalahgunaan fleet card.

‎Menteri Perdagangan Dalam Negeri ‎dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setiap fleet card itu akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan.

‎”Bagaimanapun, ia tertakluk ‎kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan ‎sektor pengangkutan darat barangan.

“Jumlah had kuota ini ‎ditetapkan berpandukan analisa penggunaan jenis pengangkutan ‎dalam dua tahun terkini tempoh pelaksanaan SKDS.

‎”Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card akan berkuat kuasa pada ‎1 Jun ini.

‎”Selain itu, pertimbangan rayuan tambahan kuota tetap bagi penggunaan melebihi had boleh dibuat kepada Jawatankuasa Kelulusan ‎Subsidi Petroleum (JKSP) yang diuruskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

‎”Permohonan rayuan boleh dikemukakan melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran.

‎”Pertimbangan akan diteliti dengan mengambil kira justifikasi keperluan sebenar operasi dan rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS sepanjang tempoh bermulanya kelulusan pendaftaran bagi kenderaan yang terbabit,” katanya.

‎Sementara itu, Armizan berkata, pihak kementerian juga menggalakkan syarikat di sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan ‎awam air yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel untuk mendaftar.

‎”Dalam masa sama, semua syarikat yang sudah berdaftar dan mendapat manfaat subsidi bahan api melalui SKPS dan SKDS ‎diingatkan agar bertanggungjawab terhadap setiap fleet card yang ‎diperolehi melalui syarikat minyak.

‎”Sebarang penyalahgunaan ‎akan berhadapan dengan penggantungan fleet card serta-merta ‎dan syarikat yang terbabit akan disenarai hitam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top