Tanam 1,000 pokok demi 'paru-paru' dunia

Tanam 1,000 pokok demi 'paru-paru' dunia

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 1,000 pokok daripada pelbagai spesies ditanam di Hutan Simpan Sook Lake, Pensiangan, Sabah, sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) Peringkat Kebangsaan 2026 semalam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata program yang diadakan setiap tahun itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan dan menggalakkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan sumber semula jadi.

Menurutnya, usaha itu penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, mengekalkan keseimbangan ekosistem dan memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Hutan bukan sahaja berperanan sebagai khazanah alam yang perlu dipelihara, malah menjadi sumber ekonomi penting kepada masyarakat luar bandar.

“Saya berharap generasi muda akan terus menghargai dan memelihara khazanah hutan yang kita miliki hari ini demi kelangsungan masa depan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua kerajaan negeri menyegerakan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) bagi memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan negara.

Katanya, pindaan akta yang diwartakan di peringkat Persekutuan itu memperkenalkan mekanisme pendengaran awam, penggantian kawasan dan pewartaan serentak bagi kawasan yang diwartakan keluar daripada hutan simpan.

“Sehingga kini, Perlis, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Negeri Sembilan sudah menerima pakai keseluruhan pindaan yang dicadangkan, manakala Selangor dan Perak sudah meluluskan pemakaian akta itu di Dewan Undangan Negeri dan kini dalam proses pewartaan.

“Negeri-negeri lain juga sedang mengambil langkah ke arah pelaksanaan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Zulkifli Suara, berkata program itu bukan sahaja bertujuan untuk memulihkan hutan semata-mata, tetapi juga untuk menyemai rasa tanggungjawab dan kebersamaan dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

Justeru itu, katanya, seluruh lapisan masyarakat, khususnya generasi muda perlu mengambil peluang untuk bersama-sama menjadi ejen perubahan.

“Jadikanlah aktiviti penanaman pokok ini sebagai amalan berterusan, dan sebagai satu gaya hidup demi masa depan yang sejahtera dan lestari.

“Semoga setiap anak pokok yang kita tanam pada hari ini tumbuh subur dan menjadi pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar Sabah serta negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top