Pelakon Amyza Aznan mengakui dirinya masih dibayangi trauma kehilangan insan tersayang selepas pemergian anak sulungnya, Allahyarham Andre, pada Februari lalu.
Hanya Tuhan yang tahu

Menerusi perkongsian semula, sesi siaran langsung bersama ERA yang turut disertai anaknya, Adrian Adam, Amyza dilihat tidak mampu menahan sebak ketika meluahkan perasaan yang selama ini dipendam sendirian.
Menurut Amyza, pengalaman kehilangan Andre secara mengejut selepas arwah dilaporkan berada dalam keadaan baik selama setahun membuatkan dirinya kini hidup dalam ketakutan.
“Sebab dulu Andre setahun dia okey dan tiba-tiba dia pergi. Pasti saya akan takut, phobia… adakah benda sama akan berulang lagi?” kata Amyza yang gagal menahan air mata.
Dalam pada itu, Amyza berkata ramai melihat dirinya sebagai seorang yang kuat dan sudah mampu meneruskan kehidupan seperti biasa, namun jauh di sudut hati, dia masih bergelut dengan rasa rindu yang sukar digambarkan.
“Saya nampak happy, saya nampak gelak, saya nampak move on, saya nampak kuat.
“api jauh di sudut hati saya, apa yang saya tanggung dan fikir… rindu kepada orang yang dah tak ada ini datang macam angin lalu,” luahnya.

Pelakon itu turut mengakui bahawa rasa kehilangan terhadap insan tersayang bukan sesuatu yang mudah dipadamkan, malah kerinduan itu akan terus hadir selagi hayat masih ada.
“Saya reda, cuma saya rindu.
“Dan rindu itu tak ada penghujung, selagi hayat dikandung badan,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Amyza Aznan sebak, individu tak dikenali bayarkan badal umrah buat allahyarham anak
Terdahulu, Allahyarham Andre yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Februari lalu selepas bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga yang dihidapinya sejak setahun lalu.
Sumber: Threads waniefahmy




