Jho Low didakwa lobi Trump, DOJ gugurkan kes 1MDB

Jho Low didakwa lobi Trump, DOJ gugurkan kes 1MDB

Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dengan tuduhan baharu melobi pentadbiran Donald Trump dan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk menggugurkan siasatan berkaitan skandal rasuah global, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bloomberg melaporkan, DOJ dalam satu kenyataan, menyatakan mahkamah juga mendakwa penyanyi rap Amerika, Prakazrel “Pras” Michel kerana bersekongkol dengan Jho Low.

Mereka bagaimanapun gagal dalam usaha melobi itu dan DOJ mendakwa Jho Low pada 2018 kerana bersekongkol untuk menggubah wang dari 1MDB.

Jho Low, yang masih dalam buruan, dikehendaki di Malaysia untuk perbicaraan berhubung dakwaan mencuri berbilion wang dari 1MDB. Dia dituduh bersubahat dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal itu.

Michel pula dikenali sebagai ahli kumpulan hip-hop, Fugees.

Selain kes 1MDB, kedua-duanya dituduh melobi pentadbiran Trump untuk mengekstradisi ‘pengkritik’ yang tidak dinyatakan namanya ke China.

Tuduhan terbabit dinyatakan dalam dakwaan terkini yang diajukan di mahkamah Daerah Columbia pada 10 Jun.

Menurut DOJ, Jho Low dan Michel dituduh dalam dakwaan terbaru kerana bersekongkol dengan orang lain untuk terbabit dalam kempen melobi yang tidak didedahkan.

Kempen melobi itu adalah atas arahan Jho Low dan wakil Menteri Keselamatan Awam untuk China, bagi menggugurkan siasatan penyelewengan 1MDB dan prosiding sita yang membabitkan Jho Low dan yang lain serta bagi memastikan pengkritik China dihantar kembali ke negara itu.

Bloomberg melaporkan bahawa pengkritik yang dimaksudkan adalah Guo Wengui, jutawan dan ahli perniagaan yang kini berada dalam pengasingan di AS.

Jho Low dan Michel juga dituduh bersekongkol untuk ‘melakukan pengubahan wang yang berkaitan dengan kempen pengaruh asing’.

DOJ menyatakan bahawa Michel dituduh melakukan kesalahan campur tangan terhadap saksi dan konspirasi untuk membuat pernyataan palsu kepada bank.

Sebahagian daripada tuduhan itu sebelumnya dinyatakan dalam aduan jenayah yang diajukan terhadap pelobi politik yang berpangkalan di AS yang dituduh secara diam-diam bertindak sebagai ejen asing Jho Low.

Jho Low berdepan antara lima hingga 10 tahun penjara untuk setiap pertuduhan jika disabitkan kesalahan, manakala Michel berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun untuk setiap pertuduhan jika disabit kesalahan. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top