Bekalan minyak negara masih berada pada tahap stabil dan belum memasuki fasa kritikal meskipun kerajaan ketika ini hanya memberi jaminan bekalan mencukupi sehingga penghujung Julai depan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, jaminan tersebut dibuat berdasarkan maklumat terkini mengenai ketersediaan stok serta hasil rundingan bekalan yang dimuktamadkan dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan lebih telus dengan berkongsi status semasa bekalan tenaga kepada rakyat bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan berasaskan keadaan sebenar.
“Jadi mengapa kerajaan mengumumkan sedemikian (jaminan bekalan minyak mencukupi hingga Julai) kerana kita tahu bahawa dari segi kecekapan pengurusan pengoperasian bekalan tenaga membolehkan kita tahu sejauh mana ketersediaan bekalan ketika ini.
“Maka sebab itu kita memilih jalan yang lebih transparent (telus) untuk berkongsi tahap ketersediaan itu, selepas kita selesaikan persetujuan sama ada dari segi mendapatkan bekalan dari mana, kos dan sebagainya.
“Jadi sebab itu bukan bermaksud sehingga Julai kita berada dalam keadaan sukar. Sebaliknya, apabila bekalan disahkan, kita akan memberikan jaminan berdasarkan maklumat yang ada ketika itu,” katanya, hari ini.
Kredit Foto: Danial Saad | Utusan
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata kerajaan kini sedang meneroka beberapa sumber bekalan minyak mentah baharu bagi memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
Katanya, antara wilayah yang sedang dipertimbangkan termasuk benua Afrika, Rusia, Turkiye, Amerika Selatan, Amerika Syarikat (AS) serta Singapura bagi bekalan minyak bertapis.
“Seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) proses melihat sumber baharu itu memang berlaku dan antara wilayah yang kita sedang lihat untuk bekalan minyak mentah termasuk dari benua Afrika, Russia, Turkiye, Amerika Selatan, Amerika Syarikat (AS) serta Singapura (bagi bekalan minyak bertapis).
“Namun, ia turut bergantung kepada ketersediaan fasiliti kita untuk memproses bekalan berkenaan kerana setiap minyak mentah yang datang dari kawasan berbeza mempunyai karakter yang berbeza,” katanya lagi.
Kredit Foto: Danial Saad | Utusan
Beliau berkata, setiap sumber minyak mentah mempunyai ciri tersendiri dan perlu dinilai kesesuaiannya dengan keupayaan kemudahan pemprosesan sedia ada sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, syarikat pembekal termasuk Petronas akan terus mengemas kini status bekalan selepas setiap rundingan dan perjanjian dimeterai bagi memastikan bekalan negara kekal terjamin.
Artikel lain: Rakyat tak perlu risau, bekalan minyak Malaysia masih mencukupi – Amir Hamzah
Dalam pada itu, beliau berkata harga minyak global yang masih tidak menentu menyebabkan kerajaan tidak mahu terikat dengan kontrak bekalan untuk tempoh yang terlalu panjang.
“Bukan bermaksud sehingga Julai kita berada dalam keadaan sukar, tetapi apabila bekalan telah disahkan, kita akan beri jaminan.
“Hal ini demikian kerana, harga minyak ketika ini masih tidak menentu dan kita tidak mahu terikat dengan perjanjian yang terlalu panjang,”ujar beliau.
Kredit Foto: BERNAMA
Beliau berkata kerajaan dijangka memperoleh perkembangan baharu berkaitan jaminan bekalan minyak bagi tempoh seterusnya menjelang penghujung bulan ini.




