Pemilik, pengurus resort cuba sogok tukar sampel daging direman SPRM

Pemilik, pengurus resort cuba sogok tukar sampel daging direman SPRM

am@hmetro.com.my

Tawau: Pemilik dan pengurus sebuah syarikat pelancongan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki cuba menyogok pegawai penguat kuasa bagi menukar sampel daging haiwan liar yang dirampas di sebuah resort di Semporna, minggu lalu.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Mei ini terhadap kedua lelaki itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas permohonan dikemukakan SPRM.

Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah, suspek dipercayai menawarkan wang rasuah sebanyak RM50,000 kepada pengadu sebagai balasan untuk menukar sampel daging haiwan yang dirampas polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Tawau pada 15 Mei lalu bagi tujuan siasatan.

Daging haiwan itu disyaki daripada spesies yang tersenarai di bawah Jadual 1 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.

Anggota penguat kuasa dikatakan menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 19 Mei lalu yang menawarkan wang rasuah untuk tujuan berkenaan.

Dua hari kemudian pengadu menerima satu lagi pesanan daripada nombor telefon yang sama bagi mengatur pertemuan di sebuah restoran di pusat bandar Tawau untuk penyerahan wang rasuah terbabit.

Bertindak atas maklumat itu, SPRM Tawau melancarkan operasi dikenali sebagai ‘Ops Seawind’ sebelum menahan suspek pertama pada 9.30 malam tadi, selepas dipercayai menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada pengadu di sebuah restoran di bandar ini.

Suspek kedua pula ditahan pada 11.50 malam hari yang sama kerana disyaki bersubahat dalam penyerahan wang rasuah berkenaan.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa SPRM Tawau Jaffaruddin Shahari berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kenal pasti beberapa saksi dan dirakam keterangan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top