am@hmetro.com.my
Kangar: Perikatan Nasional (PN) meminta semua pihak bertenang dan tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara paling utama di saat ini adalah memastikan khidmat kepada rakyat terus diberikan secara terbaik.
“Mengenai isu pembubaran DUN, itu perkara nombor dua. Perkara nombor satu adalah semua pihak perlu bertenang dan tunggu sehingga keputusan dibuat dalam masa terdekat.
“Kita tidak perlu mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi buat masa sekarang kerana rakyat memerlukan khidmat dan tugas kita adalah terus memberi khidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang menyatakan kesediaan membubarkan DUN Perlis sekiranya enam wakil rakyat PAS mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN yang dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.
Menjawab pertanyaan sama ada usul undi tidak percaya akan berlaku pada sidang DUN akan datang, Shahidan berkata, beliau belum menerima sebarang arahan atau maklumat rasmi mengenai perkara itu.
Mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan semakan semula kerjasama bersama BERSATU, katanya, perkara itu kemungkinan berpunca daripada beberapa peristiwa politik yang berlaku sebelum ini termasuk di Negeri Sembilan.
“Kita tunggu ulasan berkenaan nanti. Apa-apa pun, keutamaan adalah rakyat kerana saya sendiri sedia ada dalam politik bersama rakyat.
“Jika kita terlalu bercakap mengenai isu ini, ia hanya akan membuatkan masyarakat panik sedangkan khidmat kepada mereka adalah yang paling penting,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




