
Skuad takraw negara akan berdepan musuh tradisi, Thailand dalam aksi final malam ini. Foto Bernama
SKUAD sepak takraw negara mengesahkan slot ke perlawanan akhir acara regu berpasukan Piala Dunia selepas menewaskan Indonesia 2-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.
Pada perlawanan pertama, gandingan negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan aksi konsisten untuk menyumbang mata pertama.
Trio negara itu berjaya menewaskan regu Indonesia yang dibarisi Riyo Zuliya Wandra, Muh Fahrul dan Anwar Budiyanto dengan keputusan straight set 15-6, 15-8.
Seterusnya, aksi kedua menyaksikan saingan sengit yang diberikan oleh pasukan lawan. Regu negara yang menampilkan Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam terpaksa bekerja keras selepas tewas pada set pertama.
Bagaimanapun, mereka berjaya bangkit memperkemaskan permainan untuk mencatatkan kemenangan 10-15, 17-16 dan 15-9 ke atas trio Indonesia, Yudha Aswinatama, Saiful Rijal dan Muhammad Hardiansyah Muliang.
Kemenangan 2-0 itu memastikan Malaysia bakal membuat perhitungan menentang musuh tradisi, Thailand dalam aksi final yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Thailand mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.



