Kota Bharu : Jenama suplemen kesihatan terkemuka, VitaHealth, secara rasminya melancarkan kempen mega ‘Pilih Halal, Pilih VitaHealth’ bagi memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap rangkaian lengkap produknya yang diiktiraf Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Inisiatif ini memberi jaminan keselamatan mutlak kepada pengguna menerusi pematuhan standard halal yang ketat di sepanjang rantaian pengeluaran, bermula daripada pemilihan bahan mentah, formulasi, pembuatan, sehinggalah ke peringkat pembungkusan dan logistik.
Kempen dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif VitaHealth (Malaysia & Singapura), Dr. KS Beh bersama Pengarah Perdagangan Watsons Malaysia, Foo Hwei Jiek.
Ketika merasmikan pelancaran, Dr. KS Beh menegaskan bahawa integriti Halal sentiasa dipelihara di setiap peringkat operasi bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi dan selamat.
“Halal bukan sekadar memenuhi tuntutan agama semata-mata, ia juga merupakan piawaian yang diiktiraf di peringkat global dalam aspek keselamatan, kebersihan, ketelusan dan kawalan kualiti yang ketat.
“Standard ini memberi keyakinan dan ketenangan minda kepada bukan sahaja pengguna Muslim, malah kepada semua rakyat Malaysia yang mengutamakan keselamatan serta keberkesanan produk kesihatan mereka,” jelasnya.
Majlis pelancaran berkenaan turut diserikan dengan kehadiran personaliti tempatan termasuk penyanyi Dikir Barat Kelantan, Mohamad Hafizzudin Md Yusof serta pendakwah bebas, Muallim Muda Shamsul Aiman.
Kredibiliti VitaHealth dalam aspek patuh syariah ini terus diperkukuhkan apabila jenama yang mempunyai sejarah rekod kepercayaan pengguna selama 70 tahun itu baru-baru ini berjaya merangkul Anugerah Platinum SOBA bagi kategori Best Halal Product.
Bagi memudahkan masyarakat mendapatkan rangkaian produk ini, VitaHealth turut menjalin kerjasama strategik bersama peruncit kesihatan dan kecantikan nombor satu negara, Watsons.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Watsons Malaysia, Caryn Loh pula berkata, pihaknya komited dalam menyediakan persekitaran peruncitan yang dipercayai dengan mengutamakan kualiti dan ketelusan produk.
Menurutnya, kerjasama bersama VitaHealth mencerminkan tanggungjawab bersama untuk menyediakan penyelesaian kesihatan bersijil Halal yang mudah didapati serta memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang sentiasa berkembang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




