PH Pulau Pinang tambah 3 jawatankuasa baharu hadapi PRU16

PH Pulau Pinang tambah 3 jawatankuasa baharu hadapi PRU16

Georgetown: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menambah tiga jawatankuasa baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan parti pada peringkat negeri.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, tiga jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Manifesto Pilihan Raya yang diketuai Zairil Khir Johari (DAP), Jawatankuasa Penerangan oleh Lee Boon Heng (PKR) dan Jawatankuasa Mobilisasi oleh Zahar Zainul (Amanah).

Beliau berkata, penubuhan tiga jawatankuasa itu dibuat selepas Mesyuarat Agung Tahunan PH Pulau Pinang 2026 hari ini.

Chow berkata, PH Pulau Pinang turut mengumumkan barisan Majlis Pimpinan PH negeri bagi 2024/2026, dengan beliau kekal sebagai Pengerusi, manakala tiga Timbalan Pengerusi ialah Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid daripada PKR, Steven Sim Chee Keong (DAP) dan Muhammad Faiz Fadzil (Amanah).

Beliau berkata, barisan itu turut dianggotai tiga Naib Pengerusi, iaitu Ramkarpal Singh, Dr Zaidi Zakaria dan Goh Choon Aik, manakala Lim Hui Ying dilantik sebagai Setiausaha serta Zulkiefly Saad sebagai Penolong Setiausaha.

“Penubuhan jawatankuasa ini akan melihat kepada isu seperti peratusan keluar mengundi yang rendah, cara untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PH Pulau Pinang 2026 di sini.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kerjasama erat antara parti komponen PH negeri akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran berkesan, pembangunan mampan untuk Pulau Pinang secara keseluruhannya, serta memperkasakan jentera akar umbi.

Berhubung kemungkinan wujud sebarang pengaturan pilihan raya menjelang PRU16, Chow berkata perkara itu tidak menghalang PH Pulau Pinang daripada terus membuat persiapan di semua kawasan yang pernah ditandingi gabungan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top