aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian untuk menyaksikan pertembungan dua beregu Malaysia di pentas final Masters Malaysia tidak kesampaian selepas Arif Junaidi-Yap Roy King terkandas di separuh akhir di Arena Unifi, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan negara itu tewas 19-21, 17-21 kepada beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam tempoh 48 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi wakil tunggal negara di pentas final.
Arif-Roy King bagaimanapun memberi tentangan sengit pada set pertama sebelum terpaksa akur tewas 19-21.
Mereka cuba bangkit pada set kedua apabila mendahului 15-13, namun pasangan Denmark kembali menyamakan kedudukan 15 sama sebelum mengambil alih momentum permainan untuk menutup perlawanan dengan kemenangan 21-17.
Kemenangan itu turut menyaksikan pasangan Denmark terus mencatatkan kemenangan sulung daripada lima pertamuan ke atas Arif-Roy King.
© New Straits Times Press (M) Bhd




