Final Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia mendahului Thailand

Final Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia mendahului Thailand
Final Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia mendahului Thailand

Malaysia meraih mata pertama dalam final acara regu berpasukan kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw.

SKUAD sepak takraw negara berjaya meraih mata pertama untuk mendahului Thailand dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam ini.

Mata pendahuluan itu disumbangkan oleh regu pertama negara yang dibarisi oleh Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Razali, dan Aidil Aiman Azwawi.

Trio negara mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan regu Thailand yang diwakili oleh Pornthep Tinbangbon, Jirasak Pakbuangeon, dan Marukin Phanmakon dalam aksi tiga set yang cukup sengit.

Selepas memenangi set pertama dengan keputusan 15-9, regu negara bagaimanapun akur dengan kebangkitan lawan pada set kedua apabila tewas 13-15.

Begitupun, gandingan negara kembali memperkemas permainan pada set penentuan untuk mencatatkan kemenangan 15-12, sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan.

Seterusnya, cabaran negara akan diteruskan oleh regu kedua Malaysia yang dibarisi oleh Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias, dan Farhan Adam.

Mereka dijadualkan turun menentang regu kedua Thailand yang menampilkan gandingan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen, dan Wuttinun Kamsanor.

Scroll to Top