KUALA LUMPUR: Malaysia akhirnya berdiri megah di puncak dunia apabila mencipta sejarah menjulang trofi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 buat kali pertama selepas menewaskan seteru tradisi, Thailand 2-1, dalam suasana penuh dramatik dan kontroversi di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Kejayaan bersejarah itu bukan sahaja menamatkan penantian panjang skuad negara, malah mengesahkan status Malaysia sebagai kuasa baharu sepak takraw dunia selepas turut merangkul emas di Sukan SEA dan kejuaraan acara kuadran sebelum ini.
Namun, aksi final itu tidak berakhir tanpa cerita panas selepas perrtembungan regu ketiga dicemari ketegangan apabila Thailand bertindak enggan meneruskan permainan susulan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dari Singapura, Radhi Che Mei, yang membatalkan mata mereka ketika mendahului 14-13 pada set kedua.
Situasi tegang itu menyebabkan perlawanan tertangguh hampir 30 minit sebelum kemenangan diberikan kepada Malaysia, sekali gus memastikan sorakan kira-kira 4,000 penyokong tempatan bergema meraikan detik bersejarah negara.
Pengurus pasukan negara, Datuk Abu Jimi Samat menjelaskan keputusan pengadil dibuat atas kesalahan pemain Thailand yang didapati melakukan pelanggaran teknikal.
“Pengadil membatalkan mata Thailand kerana kaki pemain mereka melepasi garisan bawah jaring. Mereka mungkin tidak berpuas hati, tetapi keputusan itu memang tepat.Saya sendiri nampak situasi itu berlaku,” katanya.
Mengikut peraturan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), bantahan tidak dibenarkan bagi kesalahan melibatkan kaki melepasi garisan bawah jaring, sekali gus menjadikan keputusan pengadil kekal.
Dalam aksi final, regu pertama negara yang dibarisi Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Afifuddin Razali terlebih dahulu menghadiahkan mata pembukaan selepas bangkit menundukkan Thailand 15-9, 13-15, 15-12.
Thailand kemudian menghidupkan semula cabaran apabila regu kedua negara yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Azlan Alias dan Farhan Adam gagal mengekang asakan lawan sebelum tewas 6-15, 10-15.
Zarif Marican Ibrahim Marican, Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Zazwan Amir memulakan langkah cemerlang dengan memenangi set pertama 15-13 sebelum aksi bertukar kecoh pada set kedua.
Selepas terlepas peluang pada edisi sulung dua tahun lalu, skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun akhirnya membuktikan bahawa kejayaan emas Sukan SEA di Thailand bukan sekadar kebetulan sebaliknya isyarat kebangkitan sebenar gergasi sepak takraw negara.-UTUSAN




