ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia mencipta sejarah dan membuktikan penguasaan berterusan dalam acara berpasukan sepak takraw selepas menjulang trofi Piala Dunia dengan menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-1 sebentar tadi.
Bagaimanapun, kemenangan itu dibayangi dengan kontroversi keputusan pengadil, Radhi Che Mei dari Singapura pada set kedua regu ketiga sehingga membuatkan pemain Thailand enggan meneruskan permainan dan Malaysia diberikan kemenangan percuma.
Ia terjadi selepas keputusan pengadil yang membatalkan mata Thailand ketika mereka mendahului 14-13, sehingga menyebabkan aksi tertangguh selama setengah jam, sebelum Malaysia diistiharkan memenangi perlawanan regu ketiga, sekali gus muncul juara dengan kemenangan tipis 2-1.
Keputusan berkenaan disambut dengan gegak-gempita hampir 4,000 penyokong menyaksikan kehebatan Malaysia menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama, selepas terlepas peluang pada edisi pertama dua tahun lalu.
Pengurus pasukan negara, Datuk Abu Jimi Samat berkata, keputusan pengadil dibuat berdasarkan kesalahan pemain Thailand yang melebihi garisan bawah jaring.
“Pengadil batalkan mata Thailand sebab kaki pemain mereka lebih garisan bawah jaring. Memang dia tak puas hati dengan keputusan itu.
“Walaupun mereka buat bantahan, keputusan asal tetap kekal sebab memang kaki pemain itu lebih. Saya sendiri nampak,” katanya.
Berdasarkan peraturan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) tiada bantahan boleh dilakukan di atas kesalahan kaki terlebih garisan bawah jaring kecuali, bantahan melebihi jaring, servis dan garisan tepi.
Sementara itu, pengurus Thailand, Auychai Srisuwan berkata, mereka tidak menyambung perlawanan bukan sahaja disebabkan tidak berpuas hati ketika kontroversi di set kedua regu ketiga sahaja, malah kecewa dengan keputusan pengadil hampir keseluruhan perlawanan akhir.
“Kami sudah rugi beberapa mata pada perlawanan ini, bukan sahaja ketika waktu kontroversi tadi, oleh itu kami mengambil keputusan enggan meneruskan perlawanan,” katanya.
Ini membuktikan bahawa emas di Sukan Sea Thailand tahun lalu, yang menamatkan kemarau 34 tahun bukanlah sekadar nasib sebaliknya membuktikan bahawa pasukan bimbingan Ahmad Jais Baharun kuasa dunia dominan.
Regu pertama yang membariskan Zulkifli Abd Razak (tekong), Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) dan Afifuddin Razali (perejam) yang pada awalnya mudah memenangi set pertama tersentak di set kedua sebelum menumpaskan trio Pornthep Thinbangbon (tekong), Jirasak Pakbuangoen (perejam) dan Marukin Phanmakon (pengumpan) 15-9, 13-15, 15-12.
Bagaimanapun, Thailand berjaya mengikat 1-1 selepas trio Kritsanapong Nontakote (tekong) Tanaphon Sapyen (perejam), Wuttinun Kamsanor (pengumpan) dengan mudahnya berjaya menidakkan kemampuan Haziq Hairul Nizam (tekong), Azlan Alias (perejam), Farhan Adam (pengumpan) apabila menang 15-6, 15-10.
Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (perejam), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) berjaya melaksanakan tugas tanpa sebarang tekanan untuk menghadiahkan mata kemenangan dengan mengetepikan cabaran Jakkrit Tinbangbon (tekong), Puthawan Sopa (perejam) dan Wichan Temkort (pengumpan) dengan memenangi set pertama 15-13 sebelum set kedua dibayangi kontroversi ketika trio negara
Sebelum ini Malaysia turut menjulang kejuaraan dalam acara kuadran selepas mengalahlan India 2-0 dalam acara beregu.
Edisi kali ini hanya sedikit terjejas selepas kekalahan Syahir Rosdi, Azlan dan Farhan kepada 0-2 kepada Mynmar di separuh akhir acara regu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




