Vellfire disita JPJ, warga Rohingya terpaksa pulang berjalan kaki

Vellfire disita JPJ, warga Rohingya terpaksa pulang berjalan kaki

am@hmetro.com.my

Melaka: Bergaya pandu Toyota Vellfire bak orang kenamaan, namun terpaksa pulang berjalan kaki apabila kenderaan mewah itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, semalam.

Itu terjadi kepada lelaki warga Rohingya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke Atas Pelarian (UNHCR) selepas gagal mengemukakan lesen memandu sah yang dipinta anggota penguat kuasa JPJ dalam operasi harian di negeri ini.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu antara tujuh kenderaan mewah yang disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

Menurutnya, kenderaan itu ditahan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Peringit, dalam operasi diadakan pada jam 4.30 petang hingga 12 tengah malam.

“Lelaki berusia 61 tahun itu memberi alasan hendak menghantar isteri yang juga warga Rohingya ke hospital kerana sakit perut.

“Namun ketika diperiksa dia gagal menunjukkan lesen memandu yang sah dan kita mengeluarkan Notis Saman P22 dan Notis Sita 64(1) mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, hasil semakan lanjut mendapati Toyota Vellfire terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki warga Myanmar yang memiliki lesen memandu percubaan (PDL) Kelas D dan masih aktif.

“Cukai jalan kenderaan itu pula didapati tamat tempoh sejak 16 Mei lalu, namun perlindungan insurans masih aktif sehingga November depan,” katanya.

Sementara itu, Siti Zarina berkata, keseluruhan tujuh kenderaan mewah disita pihaknya dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Melaka di Bukit Katil untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top