redzuan.muharam@hmetro.com.my
Rawang: Dua dekad lelaki ini berkhidmat sebagai pemandu peribadi kepada sebuah keluarga berketurunan Tionghoa sebelum berhenti pada akhir bulan lalu.
Sepanjang tempoh itu, Mohd Rodzan Husin,57, tidak pernah dipandang rendah sebaliknya dianggap seperti darah daging sendiri oleh bekas majikannya yang dikenali Mr William dan Miss Loo.
Mohd Rodzan berkata, anak pasangan itu juga sangat menghormatinya namun dia terpaksa berhenti kerana perniagaan bekas majikannya tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.
Berkongsi kisahnya, Mohd Rodzan berkata, dia asalnya bekerja sebagai pemandu teksi sebelum dicadangkan dan diperkenalkan seorang rakan untuk berkhidmat dengan bekas majikannya.
“Waktu itu, Miss Loo jumpa kawan saya di pusat cuci kereta dan beritahu dia dengan suaminya mencari pemandu peribadi.
“Kawan cadangkan saya dan rezeki saya apabila diterima bekerja tanpa mengira latar belakang saya dengan mereka yang berlainan kaum juga agama.
“Tak sangka juga diterima dan sejak hari pertama, saya buat kerja sehabis baik kerana anggap kerja itu amanah ” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Mohd Rodzan berkata, sejak awal hingga hari terakhir berkhidmat, bekas majikan sangat menghormati tuntutan serta kewajipannya sebagai umat Islam.
“Waktu solat, mereka tak kacau, malah mereka yang ingatkan saya untuk pergi solat.
“Begitu juga dengan waktu berpuasa dalam Ramadan, mereka sangat faham kerana banyak bergaul dengan orang Melayu dan ramai juga dalam kalangan ahli keluarga mereka sudah memeluk Islam.
“Saya panggil mereka ‘Boss’ , mereka panggil saya Zan.. anak mereka pula panggil saya ‘Uncle’ dan rapat juga dengan saya yang tengok mereka membesar di depan mata, daripada kecil hingga sudah dewasa.
“Bekas majikan saya pun tak berkira kerana dalam setahun, dapat dua kali duit raya iaitu waktu Tahun Baru Cina juga Aidilfitri. Itu belum termasuk baju dan barangan keperluan malah anak saya pun dapat duit raya,” katanya.
Menurut Mohd Rodzan, dia pernah meluahkan hasrat untuk berhenti kerja 10 tahun lalu kerana mendapat peluang lain.
“Tapi bekas majikan tak nak lepaskan saya malah naikkan gaji kerana nak saya terus berkhidmat dengan mereka.
“Memandangkan bekas majikan baik, saya bertahan dan ikut perancangan nak bekerja sampai tiga tahun lagi.
“Cuma rezeki setakat 20 tahun saja… hari terakhir berkhidmat memang sedih kerana kami sudah lama bersama tapi majikan ingatkan supaya tak tukar nombor telefon dan menghubunginya jika ada masalah,” katanya.
Mohd Rodzan menganggap peluang bekerja dengan majikannya itu sebagai pengalaman yang sangat berharga dan tidak akan dilupakan sehingga dia menutup mata.
“Bukan mudah nak dapat kepercayaan daripada mereka dan terima kasih kerana menerima saya sebagai pekerja selama 20 tahun lamanya.
“Saya minta maaf andai ada lakukan kesilapan sepanjang berkhidmat, minta halal makan minum dan jujurnya, saya pun sudah anggap mereka macam keluarga sendiri.
“Terlalu banyak kenangan manis bersama mereka dan jasa baik mereka akan saya kenang sampai akhir hayat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




