Hospital SALAM Shah Alam tawar perkhidmatan rehabilitasi sukan komprehensif serendah RM160

Hospital SALAM Shah Alam tawar perkhidmatan rehabilitasi sukan komprehensif serendah RM160

Shah Alam: Hospital Pakar SALAM Shah Alam melancarkan Perkhidmatan Rehabilitasi Sukan Komprehensif menerusi kolaborasi strategik bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), sekali gus menawarkan rawatan menyeluruh pada kadar mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Akim Affandi Ahmad berkata perkhidmatan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemulihan kecederaan, malah turut menyokong peningkatan prestasi atlet serta individu aktif dengan kadar serendah RM160 seorang.

Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen hospital dalam memperkasa aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Beliau berkata, kolaborasi itu menggabungkan kepakaran multidisiplin di SALAM Shah Alam, merangkumi bidang ortopedik, pembedahan am serta kepakaran sakit puan.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi fokus kepada golongan lelaki, malah turut menitikberatkan keperluan komuniti wanita yang aktif bersukan dengan menyediakan pendekatan rawatan lebih holistik, meliputi pemulihan kecederaan, peningkatan prestasi, serta penjagaan jangka panjang atlet.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat meningkatkan standard rehabilitasi sukan di Shah Alam dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengurus Komersial Hospital Pakar SALAM Shah Alam, Ahmad Ramli berkata usahasama tersebut turut menawarkan diskaun khas kepada penyokong dan pencinta bola sepak Selangor bagi pakej perkhidmatan hospital yang disediakan.

“Kerjasama yang terjalin bersama FAS ini bukan sahaja tertumpu kepada perkhidmatan rehabilitasi, malah turut memberi peluang kepada penyokong dan pencinta bola sepak Selangor menikmati pelbagai diskaun khas bagi pakej hospital yang ditawarkan,” katanya.

Pada Selasa lepas, Akim Affandi dan Ahmad menerima kunjungan delegasi FAS yang terdiri daripada setiausaha Muhammad Izrin Nabil, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Azree Izuan Pardas serta Pengarah Prestasi Fisioterapi Sabri Abu Samah sempena majlis pelancaran dan lawatan rasmi.

Delegasi berkenaan turut dibawa melawat fasiliti hospital termasuk wad dan jabatan fisioterapi bagi meninjau kemudahan serta peralatan rehabilitasi moden yang disediakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top