am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas pelbagai mainan jenis squishy bernilai RM30,391 yang disyaki tidak mematuhi piawaian keselamatan dalam pemeriksaan yang lakukan di negeri ini sejak 3 Oktober lalu.
Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat, berkata sejumlah 2,380 unit mainan berbentuk span lembut terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis itu disita hasil 101 pemeriksaan dijalankan.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati mainan itu disyaki tidak mempunyai tanda pematuhan standard keselamatan Malaysia (MC) seperti diwajibkan di bawah peraturan yang berkuat kuasa.
“Sebanyak enam premis di Kuala Terengganu diambil tindakan dan kes dibuka mengikut siasatan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta peraturan berkaitan standard keselamatan mainan.
“Mainan yang direka atau dimaksudkan untuk digunakan dalam permainan kanak-kanak berusia bawah 14 tahun perlu mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Mufsi berkata, jika disabitkan kesalahan syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama, manakala individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




