Pemandu lori rempuh 11 kenderaan bayar ikat jamin RM12,900

Pemandu lori rempuh 11 kenderaan bayar ikat jamin RM12,900

Shah Alam: Pemandu lori berusia yang didakwa terbabit dalam kemalangan dengan 11 kenderaan lain hingga mencederakan empat individu Jumaat lalu, membayar ikat jamin sebanyak RM12,900, di sini, hari ini.

Peguamnya, Rohan Singh berkata, wang ikat jamin itu diselesaikan menerusi dua penjamin selepas prosiding di dua mahkamah berasingan selesai petang hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti pihak yang bertindak sebagai penjamin kepada anak guamnya itu.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah, manakala RM3,900 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan mengambil dadah.

Terdahulu, C Agilan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di dua Mahkamah Majistret.

Bagi pertuduhan pertama, Agilan didakwa memandu lori di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan amphetamine sehingga hilang kawalan lalu menyebabkan empat individu berusia antara 17 hingga 58 tahun cedera.

Kejadian pada 4.30 petang itu berlaku di Persiaran Mokhtar Dahari apabila lori seberat 10 tan berkenaan dipercayai dipandu melawan arus sebelum merempuh 11 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan, memohon ikat jamin RM15,000 serta meminta lesen memandu tertuduh digantung.

Bagaimanapun, Rohan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan memaklumkan anak guamnya berpendapatan kira-kira RM1,700 sebulan dan menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia 11 tahun.

Majistret Ameera Mastura Khamis kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai.

Dalam prosiding berasingan, Agilan turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada kira-kira jam 11.30 malam pada hari kejadian.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari mencadangkan ikat jamin RM7,000, manakala Rohan sekali lagi memohon jumlah lebih rendah.

Wan Noora Nisa menetapkan ikat jamin RM3,900 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 22 Disember dan 11 Januari tahun depan untuk sebutan bagi kedua-dua kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top