mohamadridzuan@hmetro.com.my
Impian pencipta kandungan dan artis VFX terkenal, Sofyank bersama gandingannya, pengarah kreatif dan editor, Mshaffuan untuk menghasilkan filem pertama semakin menjadi kenyataan.
Mereka kini dilamar untuk terbabit dalam projek Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU): Kitab Kataha iaitu sebuah projek mega industri perfileman tanah air.
Sofyank atau nama sebenarnya, Mohamad Sofian Abdullah berkata, kepercayaan yang diberikan ASCU adalah sesuatu yang membanggakan.
“Menghasilkan filem sendiri adalah impian kami berdua sejak dahulu. Jika melihat latar belakang, kami membesar bukan daripada bahasa filem, tetapi lebih kepada pencipta kandungan.
“Kami saling mengenali sudah lama, hampir 10 tahun. Semasa terbabit dengan ASCU kami kekal dengan matlamat, adanya kami di sini kerana nak buat filem.
“Semangat itu menyebabkan kami macam okey, ia adalah ‘trailer’ tapi kami jadikan sebagai medan latihan untuk kami buat filem suatu hari nanti.
“Jadi itulah cabarannya, macam mana kami nak sampai ‘benchmark’ yang kami tahu, okey, kami sudah bersedia untuk menghasilkan filem,” katanya ditemui pada sidang media yang diadakan, baru-baru ini.
Mshaffuan atau nama sebenar Muhammad Shaffuan Nizam pula berkata, daripada segi teknikal mereka tiada kerisauan kerana mempunyai sokongan kuat daripada pengarah sinematografi, Nicholas Chin.
“Nicholas memang selalu ‘bak up’ kami daripada segi pengalaman dan informasi berkenaan produksi. Memang dia yang ‘guide’ kami. Peranan kami lebih kepada ‘storytelling’ dan juga macam mana nak sampaikan cerita yang kami nak tunjukkan dalam masa yang singkat kepada penonton.
“Alhamdulillah, kami rasa bersyukur sangat dengan perkembangan industri filem sekarang yang semakin membanggakan. Kita ada filem Tarung, Malaikat Malam, Malam Terlarang, Good Boys Go To Heaven dan Blood Brothers.
“Bagi saya itu adalah momentum yang sangat baharu. Sudah tentunya kita ada pelapis baharu, insya-Allah salah satunya mungkin kami ataupun orang lain.
“Perkara yang kami harapkan adalah mungkin mereka ini memberi inspirasi pada kami, macam mana nak hasilkan filem hebat suatu masa nanti.
“Dan juga macam mana kita nak berikan satu ‘benchmark baharu kepada orang di luar seperti Hollywood supaya mereka nampak ‘oh sebenarnya Malaysia ini ada sesuatu’,” katanya.
Sofyank juga menambah bahawa dia mahu masyarakat melihat Thailand atau Indonesia sebagai perbandingan untuk membuatkan semua tahu kedudukan di mana Malaysia sepatutnya berada.
Sebelum ini, Astro Shaw melancarkan video terbaharu ASCU: Kitab Kataha membabitkan peranan Sofyank dan Mshaffuan yang mencetuskan pelbagai teori serta persoalan dalam kalangan peminat dunia sinematik tempatan.
Video berdurasi satu minit 52 saat itu menampilkan karakter misteri bersama sebuah kitab bersimbol segi tiga dipercayai mempunyai kaitan besar dengan dunia ASCU.
Menjawab berkaitan pembikinan teaser ASCU: Kitab Kataha, Sofyank berkata, keseluruhan proses mengambil masa kira-kira dua bulan termasuk persediaan, produksi dan pascaproduksi.
“Penggambaran pula hanya satu hari penuh di kawasan Banting, Selangor. Bagi saya sebenarnya kalau nak cakap pasal teknologi, dia berkait rapat dengan bajet.
“Macam kita nak buat filem berskala besar yang melibatkan VFX atau CGI yang lagi mendalam, itu memang akan memakan bajet sangat besar.
“Jadi kami punya ‘goal’ adalah kalau kami ada rezeki untuk buat satu filem sendiri nanti, kami akan cuba seimbangkan.
“Kami memang akan pastikan ‘key point’ untuk filem itu berjaya adalah ‘storytelling’, maksudnya kami nak pastikan penceritaan yang kita nak letakkan dalam filem ini nombor satu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




