Si-woo kekal pendahulu dengan kelebihan dua pukulan

Si-woo kekal pendahulu dengan kelebihan dua pukulan

Houston: Pemain golf Korea Selatan, Kim Si-woo mengekalkan pendahuluan dua pukulan selepas mencatat tiga bawah par 68 pada pusingan ketiga kejohanan PGA Tour CJ Cup Byron Nelson, awal pagi tadi.

Pemain berusia 30 tahun dari Seoul itu yang memburu kemenangan pertamanya sejak Terbuka Sony 2023 di Hawaii, berada di kedudukan 21 bawah par 192 selepas 54 lubang di TPC Craig Ranch di pinggir bandar Dallas.

Si-woo yang mencatat 60 pukulan pada Jumaat untuk mendahului lima pukulan, mengalami sedikit masalah apabila melakukan tiga bogey dalam empat lubang berakhir di lubang ke-11 sebelum bangkit dengan tiga birdie dalam empat lubang berikutnya untuk kembali mendahului secara solo menjelang pusingan terakhir.

“Saya mahu sekali lagi mencatat skor rendah, tetapi permulaan agak sukar,” kata Si-woo.

“Saya bermain dengan sangat baik dalam enam atau tujuh lubang terakhir.”

Pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, Scottie Scheffler yang pemenang empat gelaran utama serta rakan senegaranya yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2023, Wyndham Clark masing-masing mencatat 65 pukulan untuk berkongsi tempat kedua dengan 194 pukulan bersama pemain Jerman, Stephan Jaeger.

Sementara itu, pemain AS, Tom Hoge dan seorang lagi pemain Korea Selatan, Im Sung-jae berkongsi tempat keempat dengan 196 pukulan.

“Saya melakukan putting dengan sangat baik,” kata Clark.

“Saya bermain dengan bagus, berjuang habis-habisan dan meletakkan diri dalam posisi untuk berpeluang menang esok.”

Scheffler dan Si-woo yang kedua-duanya tinggal di kawasan itu, akan beraksi bersama dalam kumpulan terakhir.

“Si Woo seorang yang hebat dan pesaing yang kuat. Saya menantikan cabaran untuk cuba mengejarnya,” kata Scheffler.

“Esok pasti menyeronokkan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top