Polis lepaskan tembakan selepas cuba dirempuh, tiga individu ditahan

Polis lepaskan tembakan selepas cuba dirempuh, tiga individu ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Polis menahan seorang lelaki dan dua wanita selepas cuba merempuh anggota polis di tepi Jalan Batu 15 1/4, Dusun Tua, Hulu Langat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam membabitkan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

Menurutnya, anggota polis terbabit terpaksa melepaskan tembakan selepas berdepan ancaman ketika cuba menahan tiga suspek bersama sebuah kenderaan di lokasi kejadian.

“Hasil tindakan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita tempatan yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah dan tiga rekod narkotik, suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah serta 11 rekod narkotik, manakala suspek ketiga mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit dan alat kawalan jauh kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat IPD Tampin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah atau aktiviti mencurigakan diminta menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top