am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja yang maut selepas bot penyelamat (life boat) dinaiki mereka terjatuh ke laut di Platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Taman Merdeka Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Jalan Kampung Jawa, Kuantan, Pahang dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan parah akibat patah tulang dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, insiden itu berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari ketika keempat-empat mangsa menaiki bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan.
“Bagaimanapun, tali atau cangkuk (hook) yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut secara tiba-tiba.
“Kejadian itu menyebabkan bot bersama kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pasukan penyelamat kemudian turun ke lokasi sebelum berjaya menyelamatkan mangsa dan membawa mereka naik semula ke platform.
Katanya, semua mangsa kemudian diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus kira-kira jam 4 petang sebelum dihantar ke Unit Kecemasan HSNZ untuk menerima rawatan lanjut.
“Tiga daripada mangsa kemudian disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah,” katanya.
Berita berkaitan
© New Straits Times Press (M) Bhd




