am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Latihan pemindahan kecemasan di sebuah pelantar minyak di kawasan luar pesisir Terengganu-Pahang bertukar tragedi apabila tiga lelaki maut selepas bot keselamatan yang dinaiki mereka terhempas, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, empat mangsa dipercayai dalam bot keselamatan tertutup (life boat) bagi menjalani latihan pemindahan kecemasan sebelum tali yang menyokong bot berkenaan tiba-tiba putus.
Kejadian itu menyebabkan bot terbabit jatuh dari ketinggian kira-kira empat meter mengakibatkan semua mangsa parah.
Sumber berkata, sejurus kejadian, semua mangsa dibawa keluar dari lokasi oleh pasukan penyelamat dan agensi berkaitan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun tiga daripada mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan,” katanya.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, Ahmad Fikri Zakaria, 38, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ untuk proses bedah siasat.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Taufik Mohd Ruslan, 36, dari Ipoh, Perak dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan.
Difahamkan mangsa pada awalnya dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA) sebelum dipindahkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sedang dipantau pasukan perubatan.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan pengesahan daripada syarikat pengendali pelantar minyak terbabit serta pihak berkuasa berkaitan berhubung insiden berkenaan.
Tinjauan di Jabatan Forensik HSNZ mendapati ahli keluarga mangsa sudah berada di lokasi bagi urusan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




