JSJN lumpuhkan Geng RT menerusi SOSMA

JSJN lumpuhkan Geng RT menerusi SOSMA

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng RT menerusi tindakan mengikut Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA).

Pengarah JSJN Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah serta jenayah kekerasan di sekitar Lembah Klang sejak 2020.

Menurutnya, JSJN melancarkan operasi pada 27 April lalu dan berjaya menahan 12 lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang yang kemudian diambil tindakan mengikut SOSMA.

“Dalam operasi sama, JSJN turut menahan seorang ahli sindiket mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan rampasan dadah jenis ganja seberat 8.5 kilogram.

“Sindiket ini dipercayai terdiri daripada ahli kumpulan kongsi gelap dan terbabit dalam pengedaran dadah jenis methamphetamine, heroin, ganja serta ephedrine di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati kesemua 12 suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah kekerasan.

Katanya, semua suspek direman selama 28 hari dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

“Seorang lagi suspek sudah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada 8 Mei lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.

“Suspek terbabit juga akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan pada tarikh yang akan ditetapkan semula,” katanya.

Hussein berkata, JSJN kini giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai masih berada dalam negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top