Istanbul: Malaysia dijangka menerima tiga Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) yang dibina di Turkiye menjelang akhir tahun depan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembinaan kapal berkenaan berjalan mengikut jadual sejak kontrak dimeterai pada Jun 2024 dengan penamaan dan pelancaran LMSB2 pertama berlangsung hari ini di limbungan kapal Istanbul di sini, diikuti kapal kedua pada Jun dan kapal ketiga Ogos ini.
“Kita bersyukur kerana tidak ada apa-apa cabaran dan masalah yang kita hadapi dalam masa kita lakukan pembinaan untuk kapal ini. Kalau nak dibandingkan dengan LCS (Kapal Tempur Pesisir) yang mengambil masa, malangnya mengambil masa yang begitu lama. Jadi kapal ini (LMSB2) sangat penting kepada negara.
“Dalam perancangan negara, kita perlukan 18 buah kapal ini dan ketika ini kita telah pun ada empat, kalau kapal yang dibina di Turki ini siap, kita sudah ada tujuh. Kita perlu bina lagi 11 untuk kita lengkapkan keperluan kerana negara kita ini merupakan sebuah negara maritim,” katanya kepada Bernama sempena upacara penamaan dan pelancaran LMSB2 pertama milik TLDM hari ini.
Upacara penamaan dan pelancaran LMSB2 pertama, Tunku Laksamana Abdul Jalil, disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Mohamed Khaled berkata penamaan dan pelancaran kapal merupakan tradisi tentera laut di kebanyakan negara yang menandakan kerja pembinaan kerangka kapal telah siap sebelum memasuki fasa ujian di pelabuhan dan laut.
Beliau berkata LMS berbeza dengan LCS kerana peranannya sebagai kapal barisan kedua, bagaimanapun kapal berkenaan tetap dilengkapi sistem persenjataan yang menyokong operasi TLDM.
Mohamed Khaled berkata kerajaan turut merancang memperluas pemindahan teknologi bagi membolehkan pembinaan kapal tersebut dilaksanakan di Malaysia pada masa depan.
“Bila kita buat batch (kelompok) ketiga, kita mungkin akan laksanakan di Malaysia… insya-Allah dalam lawatan ini saya berkesempatan untuk bertemu dengan beberapa syarikat Turkiye yang ada penglibatan dalam pembekalan komponen kapal ini.
“Ada yang telah pun mengenal pasti syarikat yang mereka akan bekerjasama untuk mereka pindahkan teknologi, untuk mereka wujudkan kerjasama bagi membangunkan keupayaan Malaysia dalam membina beberapa komponen yang ada kaitan dengan syarikat itu,” katanya sambil menambah kesemua tiga LMSB2 itu diperoleh menerusi pembelian dengan kos 536.5 juta euro (RM2.5 bilion).
Mengulas mengenai nama kapal pertama LMSB2, Mohamed Khaled berkata pemilihan nama Tunku Laksamana Abdul Jalil sebagai mengambil semangat Almarhum yang berjuang menghadapi kanser.
“Seperti kita sedia maklum, Tunku Abdul Jalil merupakan seorang putera diraja yang menghidapi kanser dan telah melalui itu dengan semangat yang gigih dan kuat… mengambil semangat itu pihak TLDM berpendapat adalah wajar untuk kapal ini dinamakan Tunku Laksamana Abdul Jalil dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




