Kota Bharu: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan 12 individu serta merampas 90 lembu dan 100 kambing, yang disyaki diseludup dari negara jiran bagi memenuhi permintaan sempena musim perayaan Aidiladha, tahun ini.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu membabitkan 10 kes penyeludupan haiwan ternakan yang direkodkan sejak 1 Januari hingga semalam, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM457,200.
“Rampasan tertinggi direkodkan pada April lepas membabitkan 28 ekor lembu dan 100 ekor kambing bernilai RM204,000, termasuk 13 ekor lembu seludup bernilai RM39,000 di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas pada 20 April.
“Situasi ini menunjukkan sindiket penyeludupan haiwan ternakan masih aktif dan cuba mengambil kesempatan terhadap peningkatan permintaan sempena Aidiladha,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, Ops Taring Wawasan Kelantan (OTWK) merekodkan 795 kes melibatkan 979 tangkapan, dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM45.4 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




