razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur Perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) pada 1999 menjadi antara detik paling bersejarah dalam dunia sukan permotoran negara apabila Malaysia pertama kali menjadi tuan rumah perlumbaan paling berprestij dunia itu.
Siapa sangka di sebalik kemeriahan ribuan peminat yang membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC), berlaku drama luar biasa apabila kemenangan satu-dua pasukan Ferrari membabitkan Eddie Irvine dan Michael Schumacher dibatalkan susulan kesalahan ukuran komponen aerodinamik yang dipanggil ‘bargeboard’, kepingan karbon kompleks yang terletak antara tayar hadapan dan permulaan saluran udara sisi.
Lebih mengujakan ketika itu, persaingan sengit antara Ferrari bagi kategori pelumba dan pengeluar dengan McLaren Mercedes yang diketuai pelumba Finland, Mika Hakkinen bersama rakan sepasukannya, David Coulthard, dengan Malaysia menjadi lokasi perlumbaan kedua terakhir sebelum GP F1 Jepun.
Biarpun sudah 27 tahun berlalu, drama sehingga terhasilnya paparan muka hadapan Harian Metro pada 18 Oktober 1999 bertajuk Ada Sabotaj? yang mengetengahkan isu itu masih segar dalam ingatan Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Sufian Thauri Muhammed bersama rakan wartawan, Azahar Md Taib.
Mengimbas kembali pengalamannya, Sufian berkata, beliau baru memasuki tahun pertama bertugas sebagai wartawan sukan dan dia bersama Azahar diarahkan Pengarang Sukan Harian Metro ketika itu, Datuk Badrolhisham Othman untuk membuat liputan perlumbaan berkenaan.
“Drama perlumbaan itu sebenarnya sudah bermula seminggu sebelum perlumbaan berlangsung berikutan persaingan sengit bagi kategori pengeluar dan pelumba membabitkan pasukan Ferrari dan McLaren Mercedes.
“Keadaan menjadi lebih mengujakan dengan kemunculan semula Schumacher yang kembali berlumba selepas terlepas enam perlumbaan akibat kecederaan patah kaki di GP Britain.
“Dengan masih berjalan terhincut-hincut, Schumacher tetap menunjukkan keyakinan tinggi untuk membantu Ferrari dan Irvine dalam perebutan gelaran dunia menentang Hakkinen dan pasukan McLaren Mercedes,” katanya.
Mengulas suasana ketika itu, Sufian berkata, sambutan rakyat Malaysia dan peminat F1 dari luar negara seperti Singapura dan Thailand yang sanggup memandu sendiri, cukup luar biasa sehingga menyebabkan kesesakan teruk di sekitar Sepang.
“Walaupun harga tiket tempat duduk utama mencecah lebih RM1,000, ia tetap habis dijual kerana ramai mahu menyaksikan sendiri perlumbaan berprestij dunia itu di depan mata.
“Saya masih ingat, jalan di Sepang memang sesak teruk. Orang ramai datang dari seluruh negara kerana ini kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah F1,” katanya.
Sufian berkata, dalam perlumbaan itu, Schumacher berjaya membuktikan keupayaannya apabila meraih petak pertama sebelum berjaya membantu kemenangan Irvine, sekali gus mengukuhkan kedudukan Ferrari dalam perebutan kejuaraan pengeluar dan pelumba dunia.
“Perlumbaan berakhir dengan keputusan satu-dua untuk Ferrari apabila Schumacher membuka peluang kepada Irvine memintas di hujung perlumbaan untuk dinobatkan sebagai pemenang GP Malaysia,” katanya.
Menurutnya, selepas tamat perlumbaan dan artikel berita kemenangan Ferrari dihantar ke pejabat sekitar jam 7 malam, beliau bersama Azahar pada mulanya menyangka tugasan mereka sudah selesai sepenuh-
nya.
Bagaimanapun, katanya, ketika mereka bersiap untuk ‘tutup kedai’ dan meninggalkan pusat media di SIC, keadaan tiba-tiba menjadi kecoh apabila sekumpulan wartawan asing dilihat berkumpul di kawasan pasukan Ferrari.
“Kami tertanya-tanya apa yang berlaku kerana tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan. “Kami kemudian bertanya kepada wartawan luar negara yang kemudian memaklumkan berlaku isu teknikal membabitkan komponen aerodinamik Ferrari iaitu ‘bargeboard’.
“Ketika itu timbul persoalan kemungkinan wujud unsur sabotaj kerana dalam F1 semua ukuran sangat teliti. Tetapi bagaimana komponen itu boleh melebihi ukuran yang dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, insiden itu mengakibatkan kemenangan Irvine dan Schumacher dibatalkan dan Hakkinen yang berada di kedudukan ketiga diumumkan sebagai pemenang.
Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan lima hari kemudian selepas rayuan Ferrari dibenarkan.
Katanya, Harian Metro ketika itu menjadikan drama berkenaan sebagai laporan muka depan kerana ia dilihat sebagai insiden luar biasa bagi perlumbaan sulung F1 di Malaysia.
“Waktu itu keadaan memang kelam-kabut. Kami sudah siap menghantar berita kemenangan Ferrari, tiba-tiba perlu menyiap- kan laporan baharu susulan perkembangan berkenaan.
“Kami juga dimaklumkan Pengarang Eksekutif Harian Metro, Allahyarham Zian Johari mahukan artikel itu digunakan sebagai muka hadapan Harian Metro keluaran esoknya.
“Alhamdulillah, selepas bertungkus lumus, artikel dapat disiapkan dan dihantar pada 9 malam,” katanya.
Beliau mengakui pengalaman membuat liputan F1 ketika itu juga cukup mencabar kerana wartawan tempatan perlu memahami pelbagai aspek teknikal perlumbaan termasuk sistem mata kejuaraan, strategi pasukan serta komponen aerodinamik kereta.
“Saya kena banyak membaca kerana F1 ini sukan teknikal.
“Apabila pertama kali membuat liputan, memang kena faham latar belakang pasukan, pelumba dan kedudukan mata kejuaraan.
“Bagi saya, ia antara pengalaman paling bermakna dan mengujakan sepanjang 30 tahun dalam bidang kewartawanan kerana berpeluang menjadi individu yang merakam serta mencatat sejarah ikonik negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




