suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Port Dickson: Hobi menjala udang di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas, di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki warga emas diserang buaya dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Jaafa Hasan, 62, mengalami kecederaan serius di kedua-dua kaki dan paha.
Berkongsi kronologi kejadian, anak mangsa, Nursyuhadah Jamaludin, 25, berkata, bapanya keluar menjala seperti rutin biasa sebelum kejadian berlaku.
“Memang rutin dia (mangsa) menjala. Itu hobi dia bila tiada apa kerja di rumah.
“Kadang-kadang dia menjala udang, kadang-kadang berkebun,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, ketika kejadian bapanya berada di tebing sungai dan dipercayai tidak menyedari kehadiran buaya berkenaan.
“Dia tebar jala dekat tebing air. Mungkin dia tak perasan buaya itu ada. Buaya itu terus menyerang dia,” katanya.
Katanya, bapanya dipercayai sempat bergelut dengan reptilia berkenaan sebelum berjaya menyelamatkan diri.
“Kalau difahamkan dia memang bergelut dalam air itu,” katanya.
Nursyuhadah berkata, bapanya mengalami kecederaan serius di kedua-dua kaki hingga ke paras paha akibat digigit haiwan berkenaan.
Menurutnya, bapanya kemudian pulang sendiri dalam keadaan cedera dengan menunggang motosikal ke rumah abang saudaranya dalam jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sebelum ambulans dipanggil untuk mendapatkan rawatan.
“Ayah saya sedang menerima rawatan di Hospital Port Dickson dalam keadaan stabil dan masih dipantau pihak perubatan,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu dipercayai serangan kedua berlaku di kawasan sama selepas seorang lelaki dilaporkan turut diserang buaya minggu lalu.
“Minggu lepas ada juga kejadian sama dekat kawasan itu. Mangsa cedera di tangan ketika menjala,” katanya.
Katanya, pihak kampung difahamkan sedang berurusan dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) susulan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahlan berkata, pihak kampung telah mengambil tindakan awal dengan memaklumkan kejadian itu kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihak PERHILITAN dijangka turun ke lokasi dan hospital bagi mendapatkan maklumat serta menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, kawasan Sungai Linggi sememangnya diketahui mempunyai kehadiran buaya dan pernah beberapa kali dilaporkan insiden sama sebelum ini.
“Kini, pihak kami mengambil langkah keselamatan dengan menasihatkan penduduk supaya tidak melakukan aktiviti di tebing sungai buat sementara waktu bagi elakkan kejadian berulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




