Konflik Bersatu-Pas untungkan pihak lawan – Razali

Konflik Bersatu-Pas untungkan pihak lawan – Razali

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) diminta memperkukuh benteng bagi mengelak pihak lawan mengambil kesempatan dalam konflik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kemelut antara dua parti itu hanya akan menguntungkan pihak lawan yang sentiasa menunggu ruang untuk memecah-belahkan PN.

Beliau berkata, segala ketidakpuasan hati yang wujud perlu diselesaikan dengan baik menerusi meja rundingan bagi mencari jalan penyelesaian yang bersifat menang-menang.

“Ketidakpuasan hati perlu diselesaikan dengan hikmah dan jiwa besar. Kembali ke meja rundingan adalah langkah terbaik demi mencari penyelesaian yang bersifat “win-win”.

“Setiap hubungan pasti ada kekuatan dan kelemahan. Kajian semula diperlukan dan yang baik diperkukuhkan, yang kurang diperbaiki.

“Jangan kerana perbezaan pandangan, musuh diberi peluang melihat keretakan dalam saf perjuangan,” katanya di Facebook, hari ini.

Razali yakin dengan kebijaksanaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menemukan titik damai demi memastikan PN terus kukuh, matang serta diyakini rakyat.

“Insya-Allah, di bawah penyelarasan kepimpinan Dr Sam (Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) yang tenang dan strategik, PN akan terus menjadi blok pembangkang yang kuat, bersatu serta bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, matlamat perjuangan PN mesti jelas iaitu ‘Jalan ke Putrajaya’ dan bukan sekadar menjadi pembangkang.

“Tetapi membina kekuatan sebagai satu pasukan besar yang bersedia memerintah Malaysia dengan lebih stabil, bersih dan berintegriti.

“Insya-Allah, dengan kesatuan saf, disiplin kepimpinan dan fokus kepada agenda rakyat, PN akan tampil lebih kuat menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Musuh mahu melihat perpecahan, tetapi kekuatan sebenar PN ialah kesatuan, kematangan dan keikhlasan perjuangan demi agama, bangsa serta negara,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top