
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 2026.
ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengalu-alukan kehadiran Parti Bersama Malaysia (MU) untuk mengambil alih ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini.
Menteri Besar Kedah itu berkata, perkembangan tersebut dilihat mampu memecah-belahkan PKR selain memberi ruang kepada ahli parti berkenaan menyertai MU.
Menurutnya, beliau percaya semangat atau ‘roh reformasi’ kini lebih dekat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berbanding Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya alu-alukan kehadiran mereka untuk mengambil ahli-ahli PKR di Kedah, pecah-belahkan PKR dan masuk MU.
“Sungguh-sungguh pun, saya rasa roh reformasi ada pada Rafizi, tidak ada pada PMX, roh tersebut telah beralih kepada Rafizi,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 2026 di Mentaloon di sini.
Pada 17 Mei lalu, media melaporkan Rafizi dan Nik Nazmi mengesahkan akan mengambil alih MU sebagai platform politik baharu mereka.
Penyerahan parti yang bakal diterajui kedua-dua bekas menteri itu dilakukan dalam majlis pengumuman hala tuju politik.
Perkembangan tersebut sekali gus menjawab spekulasi mengenai masa depan politik Rafizi dan Nik Nazmi selepas kedua-duanya dipercayai semakin tersisih dalam PKR sejak setahun lalu.
Untuk rekod, MU merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.



