BPMB pacu ekosistem eksport menerusi BizConnect RM700 juta

BPMB pacu ekosistem eksport menerusi BizConnect RM700 juta

PETALING JAYA: Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Kumpulan BPMB) memacu agenda transformasi ekonomi negara menerusi pelaksanaan inisiatif strategik bernilai RM700 juta di bawah program BizConnect with Exporters (BizConnect).

Kumpulan BPMP berkata, program unggul itu yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertujuan memperkukuh ekosistem eksport serta memperkasa ekosistem eksport serta memperkasa perniagaan tempatan ke pasaran global.

“Inisiatif berjumlah RM700 juta tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen keseluruhan kumpulan dalam merealisasikan inisiatif strategik berjumlah RM9 billion di bawah Belanjawan 2026.

“Menerusi program BizConnect, syarikat tempatan bukan sahaja ditawarkan pembiayaan, malah akan menerima sokongan menyeluruh merangkumi khidmat nasihat strategik, kerjasama ekosistem serta akses pasaran,” katanya.

Platform tersebut dijangka melibatkan hampir 100 syarikat di beberapa hab ekonomi utama negara termasuk Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.

Sesi pertama program yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini dilaporkan telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 30 syarikat tempatan.

Pelaksanaan BizConnect turut menyokong aspirasi nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Negara (NETR).

Pendekatan bersepadu ini juga dirangka bagi membantu syarikat tempatan mempercepat perjalanan mereka daripada peringkat kesiapsiagaan eksport kepada penyertaan aktif dan daya saing mampan di pasaran global.

Antara penyelesaian komprehensif yang disediakan termasuklah Program Jaguh Serantau yang menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera untuk berkembang ke pasaran serantau.

Sementara itu, turut ditawarkan adalah Program Business Exports yang menyediakan geran pemudah eksport bagi membantu PKS Bumiputera dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan menembusi pasaran global.

Selain itu, Skim Export Leap pula disediakan bagi memudah cara pengembangan antarabangsa melalui insentif kadar pembiayaan PKS dan syarikat korporat.

Bagi aspek perlindungan, inisiatif Malaysia Global Connect Go Export Cover disediakan untuk memberi perlindungan eksport kepada PKS serta syarikat korporat yang menerokai pasaran antarabangsa.

Sebagai rekod, Kumpulan BPMB kini beroperasi sebagai platform kewangan pembangunan bersepadu bersama anak syarikatnya, Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank). – UTUSAN

Scroll to Top