zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ajaran Ahmadiah atau Qadiani sudah difatwakan sebagai terkeluar daripada agama Islam oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2004.
Ketetapan itu dibangkitkan semula oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di bawah Kerajaan MADANI yang mengambil maklum mengenai video tular di media sosial baru-baru ini berkaitan kegiatan ajaran berkenaan di Wilayah Persekutuan.
JAWI dalam satu kenyataan menegaskan meskipun ajaran bawaan Mirza Ghulam Ahmad dibawa dengan penjenamaan baharu, hakikatnya mereka tetap sesat kerana mendakwa masih wujud nabi selepas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara kesucian akidah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah diri dan ahli keluarga masing-masing daripada ancaman pemikiran sesat berkenaan seperti ajaran Ahmadiah atau Qadiani.
“Masyarakat hendaklah menjauhi sebarang bentuk fahaman ekstrem yang boleh menggugat kesucian akidah di samping memastikan institusi keluarga diperkukuhkan dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang sahih.
“Lengkapkan diri dengan ilmu agama yang benar serta sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti, alim ulama dan institusi agama yang diiktiraf supaya keimanan sentiasa berada di landasan yang diredai oleh Allah SWT,” katanya.
JAWI sebagai agensi yang bertanggungjawab mengurus dan menyelaraskan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan sentiasa prihatin terhadap isu-isu semasa umat Islam.
Pihak berkuasa agama itu juga menegaskan bahawa mereka akan terus komited dalam agenda memperkasakan akidah umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Harian Metro sebelum ini melaporkan terdapat usaha mengembalikan fahaman sesat yang didalangi individu tertentu.
Semua ajaran berkenaan sebelum ini sudah difatwakan sebagai menyeleweng dan ada di antara ajaran itu digazetkan dalam muzakarah fatwa negeri.
Berdasarkan rekod, tujuh ajaran itu adalah Ajaran Ayah Pin, Ajaran Haji Kahar, Ajaran Harun Mat Saat, Ajaran Milah Ibrahim, Ajaran SiHulk, Ajaran Mhd Mohib Khouli serta Ajaran Qadiani.
Terbaru, ajaran Qadiani Ahmadiyah mula bergerak aktif serta muncul semula sebagai ancaman baharu menerusi video yang tular di laman sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




