
Salah satu tangkap layar video kelibat pocong yang tular di Lamongan.
JAKARTA – Fenomena ‘teror pocong’ di beberapa daerah di Indonesia menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
Kemunculan sosok berpakaian putih itu menyebabkan ramai penduduk berasa takut untuk melakukan aktiviti pada waktu malam.
Menerusi klip yang tular, kelibat ‘pocong’ itu dilihat berdiri di tepi jalan, berkeliaran di kawasan penempatan serta mengetuk pintu rumah penduduk sehingga mencetuskan dakwaan ada individu menyamar sebagai hantu tersebut untuk menjalankan kegiatan jenayah.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan di pelbagai platform seperti TikTiok, Instagram dan grup WhatsApp telah mengundang resah komuniti setempat.
Isu ‘pocong mengganas’ dilaporkan di sejumlah daerah seperti Lamongan, Nganjuk, Sidoarjo, dan Malang Raya.
“Penduduk jadi takut selepas video itu tular. Ramai yang tertanya-tanya sama ada ia benar-benar penampakan atau sekadar perbuatan individu yang sengaja menakut-nakutkan orang,” kata seorang penduduk, Faisol.
Bagi meredakan kebimbangan orang ramai, pihak berkuasa segera bertindak menyiasat dakwaan yang mengancam keharmonian serta ketenteraman komuniti setempat.
Susulan itu, ia membawa kepada pembongkaran beberapa kes pocong jadian termasuk untuk tujuan kandungan sensasi media sosial.
Sebilangan penduduk juga meningkatkan rondaan malam dan pemantauan kawasan perumahan sebagai langkah berjaga-jaga. – Agensi



