Tapah: Pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini dipercayai tersasar daripada laluan asal pendakian sebelum terputus hubungan sejak semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata mangsa, Jaslinda Saludin, 49, dipercayai tersasar ketika turun dari puncak Gunung Batu Putih yang berketinggian 2,132 meter selepas mendaki seorang diri ke puncak tersebut.
Beliau berkata lokasi terakhir mangsa dikenal pasti di puncak gunung itu pada kira-kira 9 pagi semalam selepas wanita terbabit berkomunikasi dengan seorang malim gunung perhutanan (MGP) pada 7.30 pagi.
“Mangsa dipercayai meninggalkan tanda di puncak sebelum terputus hubungan dan berdasarkan maklumat yang diterima, kemungkinan beliau tersasar daripada trek asal.
“Sepatutnya laluan turun akan keluar di Kuala Woh, namun kita percaya mangsa mungkin tersasar di sekitar Gunung Rayu ataupun Pos Musoh,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah hari ini.
Sabarozi berkata operasi pencarian ditangguhkan 6 petang tadi dan akan diteruskan 8 pagi esok dengan memfokus kawasan di sekitar Gunung Rayu serta bantuan pesawat Agusta 139 dari Pangkalan Udara Bertam bagi membawa tambahan 12 hingga 16 anggota penyelamat ke kawasan pencarian.
Mengulas lanjut beliau berkata pasukan penyelamat yang menjejaki laluan mangsa turut menemukan kesan tapak kasut dipercayai milik wanita tersebut di kawasan yang bukan laluan utama pendakian.
“Kebetulan semalam hujan dan hari ini cuaca panas, jadi jejak kasut itu masih kelihatan. Jejak berkenaan bukan di laluan utama dan dipercayai laluan itu tidak digunakan pendaki lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata operasi SAR berdepan pelbagai cabaran termasuk kesukaran komunikasi di kawasan gunung, laluan curam serta keadaan cuaca hujan yang menyebabkan trek licin, di samping gunung berkenaan merupakan antara yang tertinggi dan laluannya agak mencabar serta faktor awan tebal.
Selain JBPM, operasi SAR turut melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan dan MGP.
Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu serta dua MGP memulakan pendakian “Trans Spencer Chapman” pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Dia dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak yang kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




