ACARA maraton terkemuka, Twincity Marathon bakal kembali menemui peminat larian menerusi edisi ke-12 pada penghujung Januari tahun hadapan dengan membawa kelainan luar biasa apabila buat julung kali ia bakal digabungkan bersama sebuah festival berskala besar.
Penganjuran edisi 2027 itu dijangka menarik penglibatan lebih 27,000 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus melangkaui jumlah 22,000 pelari pada edisi tahun ini.
Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Mohd. Bukhari Ismail berkata, pengisian edisi 2027 juga bukan lagi sekadar aktiviti larian biasa, sebaliknya ia bakal menyuntik impak ekonomi secara langsung kepada komuniti dan peniaga setempat menerusi suasana pesta keraian yang akan bermula beberapa hari sebelum acara kemuncak.
“Impian kami adalah untuk menjadikan minggu Twincity Marathon sebagai satu pesta sambutan besar-besaran di Putrajaya dan Cyberjaya. Kami mahu melibatkan ramai peniaga tempatan, contohnya ada yang menawarkan diskaun 10 peratus kepada peserta larian yang mengunjungi gerai-gerai mereka di lokasi penganjuran.
“Ini juga merupakan kali pertama sejak diperkenalkan pada 2014 di mana acara maraton bakal digabungkan dengan sebuah festival berskala besar. Ia bukan sahaja untuk pelari, tetapi direka unik untuk menarik kehadiran semua lapisan masyarakat termasuk ahli keluarga serta komuniti setempat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Twincity Marathon bakal tampil bersama-sama Twin Cultures Festival 2027: Where Heritage Meets AI, iaitu festival berskala besar yang mengetengahkan gabungan warisan budaya, seni kreatif, pengalaman gaya hidup moden serta teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam meraikan identiti budaya Malaysia masa hadapan.

Gabungan kedua-dua platform ini dijangka mewujudkan sebuah ‘Festival Cultural Intelligence’ pertama seumpamanya di Malaysia yang menghubungkan elemen larian, budaya, teknologi, pelancongan dan gaya hidup dalam satu pengalaman festival yang lebih moden, kreatif dan berimpak tinggi.
Mengulas lanjut, Mohd. Bukhari berkata, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sekali lagi dipilih sebagai lokasi rasmi bagi urusan pengambilan kit larian serta penganjuran festival tersebut.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa kadar yuran pendaftaran edisi 2027 akan mengekalkan lingkungan harga yang sama seperti penganjuran terdahulu dengan jangkaan pelarasan minimum sekiranya terdapat sebarang peningkatan kos pengurusan semasa.
“Twincity Marathon ini unik kerana kira akan lari dalam dua bandar iaitu Cyberjaya dan Putrajaya khususnya bagi kategori full marathon. Penganjuran sebelum ini kita pernah buat di Cyberjaya dan tahun ini di Putrajaya, cuma bagi edisi 2027 mungkin kita akan mencadangkan Putrajaya sekali lagi, namun pengumuman sebenar akan dibuat ketika pendaftaran dibuka secara rasmi,” katanya.
Mohd. Bukhari berkata, pendaftaran penyertaan dijadualkan akan bermula pada akhir Jun depan iaitu enam bulan sebelum tarikh acara bagi membolehkan para peminat sukan olahraga membuat persiapan awal.
Jelasnya, dari segi jumlah penyertaan mengikut kategori, Twincity Marathon mensasarkan seramai 5,000 peserta bagi kategori Full Marathon (42 kilometer) dan 12,000 peserta untuk Half Marathon (21 kilometer), manakala baki slot diperuntukkan bagi kategori larian lima kilometer dan 12 kilometer.
“Siri larian ini sememangnya amat popular dan dikenali dalam kalangan serious runner. Malah, kita mempunyai kumpulan pengikut setia yang besar dari negara luar khususnya Indonesia, Singapura, dan Brunei, selain penglibatan komuniti ekspatriat dari Jepun, United Kingdom, dan Amerika Syarikat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau mahu memastikan penganjuran Twincity Marahthon pada tahun hadapan dapat memberi impak, pengalaman serta pulangan yang harmoni buat masyarakat sekeliling.
“Harapan kami untuk edisi 2027 adalah untuk memastikan kelancaran penganjuran yang maksimum, lancar dan selamat. Kami mahu membuktikan penganjuran ini memberi impak positif kepada masyarakat sekitar.
“Maksudnya, kita tidak mahu masyarakat mengeluh atau merungut mengenai isu penutupan jalan dan sebagainya, sebaliknya mereka sendiri dapat bersama-sama merasai keseronokan serta ‘enjoy’ dengan festival yang kami bawakan ini,” ujarnya menolak stigma negatif penganjuran larian berskala besar.
Sementara itu, Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, Twin Cultures Festival 2027 bakal menggabungkan budaya tempatan dan kecerdasan buatan (AI) bagi memberi pengalaman ekosistem yang menyeluruh kepada peserta larian dan pengunjung yang hadir ke festival tersebut.
Jelas Rayme, integrasi ini penting bagi memberi pengalaman menyeluruh kepada pengunjung merangkumi aspek sukan, gaya hidup dan warisan dalam satu platform, di samping membuktikan evolusi teknologi tidak mengetepikan nilai budaya tradisi.
“Idea penganjuran Twin Culture ini kerana saya nak menggabungkan budaya sekarang dan juga AI sebab budaya dan teknologi saling memerlukan dan tidak boleh dipisahkan. Kita mahu menghargai budaya walaupun ada teknologi, sekali gus memberi pengalaman yang menyeluruh kepada pengunjung,” katanya.
Rayme turut menyatakan pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan daripada mana-mana organisasi atau agensi yang berminat untuk menjalin kerjasama strategik mahupun sebagai penaja bagi Twin Cultures Festival 2027, dengan menyifatkan kolaborasi itu sebagai langkah penting memandangkan acara tersebut dirangka untuk menjadi satu platform besar yang mampu memberikan impak positif serta menyeluruh kepada semua pihak yang terlibat.
Melalui gabungan Twincity Marathon 2027 dan Twin Cultures Festival 2027, pihak penganjur mensasarkan 27,000 pelari tempatan dan antarabangsa serta kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang festival itu berlangsung dengan penyertaan 250 vendor dan pempamer, selain anggaran impak ekonomi dan pelancongan melebihi RM40 juta kepada sektor pelancongan, hospitaliti, makanan, pengangkutan dan industri tempatan.




