Rafizi perlu perjelas dakwaan dana RM8.6 juta beli Bersama – AMK

Rafizi perlu perjelas dakwaan dana RM8.6 juta beli Bersama – AMK
Rafizi perlu perjelas dakwaan dana RM8.6 juta beli Bersama – AMK

Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli digesa tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan pembelian Parti Bersama Malaysia (Bersama) bernilai RM8.6 juta yang kini hangat diperkatakan di media sosial.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, penjelasan itu penting bagi mengelakkan pelbagai persepsi dan spekulasi terus berlegar dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila dakwaan tersebut turut dikaitkan dengan isu aliran dana asing serta pengkhianatan terhadap negara.

Menurutnya, jika benar wujud persoalan berkaitan sumber dana bagi pengambilalihan atau pembelian parti berkenaan, perkara itu perlu dijelaskan secara terbuka.

“Namun saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai parti Bersama itu sendiri. Itu hak beliau sama ada mahu beli, sewa secara bulanan atau ambil alih secara percuma.

“Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Rafizi dalam podcast beliau, Presiden parti Bersama ialah Syukri Razab yang juga merupakan bekas pegawai beliau di kementerian.

“Maka soalan tersebut lebih wajar ditujukan kepada Presiden parti Bersama sendiri untuk diberikan penjelasan secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan menyiarkan semula video dimuat naik pengguna media sosial yang mendakwa Rafizi telah ‘membeli’ Bersama pada nilai RM8.6 juta.

Menerusi video berkenaan, individu terbabit turut mempersoalkan sumber dana yang digunakan selain mendakwa bekas Menteri Ekonomi itu mempunyai niat tertentu terhadap PKR.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun dilaporkan menyifatkan dakwaan melibatkan dana asing sebagai serius kerana boleh memberi implikasi terhadap kedaulatan negara serta mencetuskan campur tangan pihak luar dalam politik tempatan.

Dalam perkembangan sama, Rafizi ketika ini turut berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.

Scroll to Top