PRU16 dijangka jadi medan pertarungan terbuka – Rafizi

PRU16 dijangka jadi medan pertarungan terbuka – Rafizi
PRU16 dijangka jadi medan pertarungan terbuka – Rafizi

Rafizi

SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka menjadi pertandingan terbuka atau ‘free-for-all’ apabila setiap parti politik dilihat akan membawa haluan dan strategi sendiri demi kelangsungan masing-masing.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, senario itu semakin jelas apabila UMNO dilihat tidak akan kekal sebagai ‘pemain kedua’ kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya itu nanti.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, UMNO tidak ditubuhkan untuk menjadi pelengkap kepada parti lain, sebaliknya mempunyai matlamat untuk kembali menguasai kerajaan.

“UMNO tidak wujud untuk jadi aksesori politik kepada orang lain. UMNO wujud untuk menguasai kerajaan.

“Selepas PRU15, UMNO kalah besar. Untuk survival, mereka masuk kerajaan bersama PH. Itu ialah susunan sementara untuk membentuk kerajaan dan menstabilkan negara.

“Tapi itu bukan perkahwinan politik sampai mati,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Rafizi berpandangan, strategi politik yang cuba ‘merangkul semua pihak’ mempunyai kelemahan asas kerana menganggap semua parti akan mengikut kehendak kerajaan Persekutuan, sedangkan setiap parti mempunyai kepentingan dan agenda survival tersendiri.

“Kalau UMNO mahu ikut arahan PH, baik masuk PKR saja.

“PH, BN, PN (Perikatan Nasional), parti-parti negeri dan parti baharu semua akan kira jalan masing-masing,” ujarnya.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, parti baharu yang disertainya iaitu Parti Bersama Malaysia (Bersama) dibina untuk menghadapi landskap politik sedemikian.

Scroll to Top